Jihan Muse yang kini tampil mengenakan tudung mendapat pujian pelbagai pihak. Malah para peminat turut memuji penampilan terkini pengacara berkenaan selain ramai yang memuji dirinya yang tampak lebih sopan dan ayu seiring statusnya sebagai ibu kepada seorang cahaya mata.

Menerusi Harian Metro, Jihan mendedahkan kunjungannya ke Palu, Indonesia yang terjejas teruk akibat gempa dan tsunami baru-baru ini benar-benar memberi kesan buat dirinya.

Dia serta beberapa rakan selebriti lain terlibat di dalam suatu misi kemanusiaan di lokasi berkenaan.

Lebih memanggilnya untuk berubah ialah ketika menatap ramai pengguna Instagram yang mulai sahut cabaran #10yearschallenge yang mencetus trending satu dunia.

“Sebenarnya saya sudah lama terdetik nak bertudung tapi macam-macam perkara mengganggu fikiran hingga niat baik itu tertangguh.

IKLAN

“Bagaimanapun, ketika tular gambar #10yearschallenge yang membandingkan gambar 2009 dan 2019, saya mula terfikir untuk berubah.

“Saya mula menyertai industri hiburan pada 2009 menerusi program Raja Lawak dan sudah macam-macam saya buat untuk menghiburkan orang selama 10 tahun ini. Kebetulan, anak saya juga sudah berusia setahun Januari lalu.

“Malah, saya juga ada menonton program penghijrahan Mizz Nina. Perkara itu turut buka hati saya untuk muhasabah diri dan berubah menjadi insan yang lebih baik secara perlahan-lahan,” katanya seperti yang dipetik.

IKLAN

Sementara itu, Jihan turut mendedahkan dia sejujurnya tidak berapa berani untuk membuat pengakuan mengenai hijrah tersebut kerana mengakui isu ini bukan suatu hal yang main-main.

“Sebenarnya saya tidak berani membuat kenyataan sudah bertudung sepenuhnya kerana saya tidak tahu apa dugaan yang akan datang.

“Bagaimanapun saya lebih selesa untuk memberitahu saya mula menutup kepala. Saya harap langkah awal ini permulaan yang terbaik buat saya.

IKLAN

“Kalau nak cakap saya sudah menutup aurat, ia terlalu subjektif dan besar. Ini kerana, saya masih mengenakan skaf dan ia bukan cara berhijab yang betul. Apa yang boleh dikatakan, saya sedang belajar untuk menutup rambut,” terang Jihan.

Terdahulu penampilan Jihan mengenakan skaf untuk menutup rambutnya sewaktu menjalankan misi kemanusiaan di Palu mendapat perhatian netizen sehinggalah imej sama turut ditampilkan ketika berada di Jepun, minggu lalu.

Foto: Instagram Jihan Muse

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI