Punyai jiwa kental, semangat berani serta cita-cita jitu usahawan wanita muda asal Marang, Terengganu, yang turut popular dengan julukan ‘Mummy Jerung’ ini untuk terjun ke bidang nyanyian akhirnya menjadi kenyataan.
Pemilik nama sebenar Wan Siti Mariam Wan Mahyudin atau lebih glamor dengan panggilan Sofiaa Marieylla di laman sosialnya seperti TikTok, kini disunting secara rasmi menjadi artis di bawah naungan Rocketfuel Indie Space Station (ISS) yang merupakan pembahagian (division) terbaharu Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd.
Single berjudul ‘Akulah Jerung Merah’ hasil ciptaan komposer, Hadi Rumnan dan penulis lirik, Ajim Maze menjadi taruhan sulungnya sebagai penyanyi.
“Ramai yang tak percaya pada mulanya, akhirnya berkat kesabaran dan kesungguhan dalam bidang perniagaan, dapat juga saya hadir dengan single sendiri.
“Umum yang semua ketahui, tagline Skuad Jerung Merah yang merupakan sebahagian daripada gimik pemasaran perniagaan saya di media sosial sangat sinonim dengan saya, sehinggalah video-video tersebut menjadi viral di TikTok dan disebut-sebut masyarakat Malaysia.
“Dan tak disangka-sangka, rupa-rupanya pihak Rocketfuel berkenan menjadikan saya sebagai artis rakaman dan saya terima pelawaan tersebut dengan hati yang terbuka kerana inilah peluang keemasan yang saya nanti-nantikan selama ini,” tambah figura berusia 24 tahun ini.
‘Akulah Jerung Merah’ merupakan sebuah lagu bergenre pop rancak Kemelayuan yang santai dengan ritma yang catchy bagi menambat hati para pendengar.
Manakala bait-bait korusnya senang diingati dan pasti menjadi siulan anak-anak remaja dengan jalan ceritanya yang menghiburkan.
“Jalan cerita lagu ni simple je, ia mengenai Mummy Jerung iaitu saya sendiri yang melalui proses percintaan bersama seorang pemuda dengan pengakhiran yang bahagia, kiranya sehingga ke jinjang pelamin.
“Saya juga amat teruja dan terkejut di mana proses rakaman lagu serta pembikinan video muzik (MV) dapat disiapkan dalam beberapa hari saja oleh pihak Rocketfuel yang sangat profesional. Memang best bekerja dengan team Rocketfuel!,” katanya.
Jerung Merah merupakan signifikasi yang ingin Sofiaa tonjolkan selain menjadi sebahagian daripada teknik pemasaran yang dijalankannya.
Dia juga ingin dikenali sebagai ‘Mummy Jerung’ dan mahu mengumpul lebih ramai lagi ‘anak-anak’ Jerung melalui Skuad Jerung Merah yang ditubuhkannya beberapa tahun lalu.
“Ramai yang nak tau, kenapa Jerung Merah? Jawapannya mudah, sebab jerungkan suka ngappp! Dan Jerung Merah ialah Sofia Marieylla sendiri,” katanya mudah.
Menurut Encik Jipie, selaku Ketua Label & Penerbitan Rocketfuel Entertainment dan ISS, pihaknya nampak potensi akan potensi yang dimiliki Sofiaa sebagai penyanyi selain mempunyai suara boleh diketengahkan.
“Skuad Jerung Merah yang dimulanya mempunyai rangkaian di serata negara, dan dengan lahirnya single ‘Akulah Jerung Merah’, moga lebih ramai lagi yang akan menyertai skuad tersebut.