Semalam, pelakon Nadya Syahera ada berkongsi sekeping foto yang merakamkan dirinya sedang memeluk erat suami, usahawan Fizul Nawi di Instagram.

Apa yang menariknya, kapsyen yang dibuat pelakon Abang Bomba I Love You ini nyata mengundang perhatian ramai, seakan-akan mengimbas isu sensasi yang pernah terpalit dalam institusi rumah tangganya sebelum ini.

“Masih bersama #doaygbaik2 #diapilihsayabukanawak #jgnganggujodohorang,” tulis Nadya ringkas.

Lalu menerusi Harian Metro, ibu kepada dua permata hati itu mendedahkan, tindakannya memuat naik status berkenaan adalah untuk menjelaskan keadaan terkini hubungannya dengan suami.

Pelakon berusia 26 tahun itu menegaskan, jika individu yang pernah dikaitkan dengan suaminya sebelum ini terasa hati dengan kapsyen tersebut, dia meminta agar individu tersebut sedar.

IKLAN

“Status itu dimuat naik bagi menjawab spekulasi kononnya saya dan suami sudah berpisah serta tidak lagi tinggal sebumbung.

“Buat pengetahuan semua, selepas kes curang tempoh hari saya dan suami ambil pendekatan untuk mempertahankan rumah tangga kami. Suami pun sudah minta maaf dan saya nampak usaha dia untuk berubah.

“Justeru, saya harap wanita itu hadam sendiri apabila lihat gambar saya dan suami. Sedarlah, awak tidak diperlukan pun,” jelas Nadya seperti yang dipetik.

IKLAN

Pada masa sama, wanita ini juga berharap agar hal rumah tangganya menjadi iktibar terutama kepada pasangan yang berdepan ujian sama.

“Lihat dari sudut positif apa yang terjadi dalam rumah tangga saya. Mereka harus kuatkan diri dan bangkit mempertahankan hak mereka.

“Jangan pernah mengalah dan tunduk dengan cakap orang sebaliknya ikutlah kata hati sendiri. Terima kasih kepada semua yang mendoakan kebahagiaan saya selama ini,” katanya lagi.

IKLAN

Awal bulan lalu, kecoh mengenai bahtera perkahwinan pasangan ini yang dikatakan goyah selepas Nadya mendakwa suaminya ada berlaku curang sejak Syawal lalu.

Bagaimanapun, mereka akhirnya menjelaskan keadaan dan cuba memperbaiki hubungan.

Nadya dan suami berkahwin pada 25 September 2015. Hasil perkongsian hidup selama empat tahun, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Aleena Rose, 2, dan Mohamad Dayyan, 1.

Foto: Instagram Nadya Syahera

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI