Sedekah Telekung Buat Anak Orang Asli, Usaha Murni Pengasas Pakaian Muslimah Sentuh Jiwa – “Perasaan Berbeza, Tangisan Yang Jujur Dari Hati.”

Share

Sejak beberapa hari lalu, sebuah rakaman video yang antara lain memaparkan seorang gadis Orang Asli yang dikenali sebagai Azura Anjau kelihatan sebak dan menangis kegembiraan apabila menerima telekung pemberian pengasas pakaian muslimah Munawwareen, Aliza Abu Bakar tular di media sosial.

Sehingga kini, video yang dikongsikan pengguna Twitter menerusi akaun @Okopipi_ itu sudah pun menerima lebih 110,000 kali tontonan bersama pelbagai respon positif yang ditinggalkan.

Sementara itu, Aliza menerusi Instagram mengakui situasi itu membuatkan hatinya tersentuh apabila telekung beberapa wanita lain dapat digantikan dengan yang baharu.

“Kalau sebelum ni, apa yang saya perhatikan bila saya sedekahkan telekung kepada orang, mereka menerima dengan gembira.

“Tapi kali ini, perasaan tu berbeza. Tangisan yang jujur dari hati. Belum pernah saya melihat ada orang sebak apabila menerima hadiah telekung.

“Biasanya, orang yang dah berumur je yang paling excited dapat telekung. Sedangkan adik Azura binti Anjau ni masih muda remaja.

“Sejujurnya, airmata syukur adik Azura yang sebak mengalirkan titis air mata buat hati saya tersentuh,” kongsinya.

Terdahulu pada 20 April lalu, Munawwareen mengambil keberkatan di bulan Ramadan dengan mengadakan program infaq di Perkampungan Orang Asli Bukit Lagong.

“Katanya dia sudah lama mengimpikan telekung yang cantik dan mewah, namun masih belum ada rezeki utk membelinya. Bila saya perhatikan, tudung yang dia pakai pun dah lusuh.

“Adik Azura kata lagi, biasanya sumbangan yang disalurkan kepada komuniti Perkampungan Orang Asli Bukit Lagong, Selayang, berupa keperluan harian.

“Jadi, kali ini dia sangat teruja bila menerima hadiah telekung eksklusif daripada Munawwareen.

“Tentunya saya sebagai tulang belakang jenama Munawwareen berasa amat bersyukur. Semoga adik Azura rasa gembira setiap kali memakai telekung Munawwareen ketika menunaikan solat,” ujar Aliza.

Dia pada masa sama bersyukur dan seronok kerana berpeluang untuk berkongsi rezeki dengan masyarakat Orang Asli.

Bagi Aliza, kesudian mereka menerima telekung tersebut merupakan satu rahmat yang besar bagi dirinya.

“Tanpa saya sedar, air mata yang cuba saya tahan jatuh juga bergenang ketika saya dalam perjalanan pulang.

“Saya bersyukur kerana dapat berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan, kepada komuniti orang asli dan amat terharu apabila mereka menerima pemberian saya dengan hati yang terbuka,” tulisnya lagi.

Selain telekung, Aliza juga turut menyumbangkan barangan keperluan dapur antaranya beras, susu, mihun, minyak masak dan air mineral kepada 40 keluarga yang menetap di perkampungan itu.

Pasukan Munawwareen ke sana dengan bantuan daripada Pusat Khidmat Masyarakat Dun Taman Templer.

Aliza juga mempunyai alasan tersendiri memilih perkampungan Orang Asli.

“Kenapa perkampungan Orang Asli? Ini kerana kawasan penempatan komuniti ini jarang menjadi “hot spotted” atau mendapat perhatian untuk program infaq di bulan Ramadan.

“Biasanya progam infaq ini melibatkan anak-anak yatim, ibu tunggal, rumah orang tua-tua, fakir miskin, OKU dan anak-anak tahfiz.

Bukan setakat menyumbangkan telekung dan barangan keperluan, Aliza juga turut membawa seorang ustaz untuk menyampaikan tazkirah di sana.

Published by
MH