Penyanyi dan pelakon berbakat, Ayda Jebat menghadiahkan sebuah single baru buat para peminat bersempena dengan ulang tahun kelahiran ke-27 yang disambut, dua hari lalu.
Menariknya, Ayda terus mengejutkan peminat dengan memperkenalkan single balada terkini yang cukup menjentik emosi.
Malah, Ayda atau nama sebenarnya, Nur Suhada Jebat mendedikasikan lagu Mana Ada Hati (Yang Ingin Trus Disakiti) mengakui ia dituju khuses pada peminat yang tak henti menyokong karier seninya.
“Selalunya, saya mendapat hadiah dari peminat sempena hari lahir saya, tetapi tahun ini saya lakukan sesuatu yang berbeza dengan menghadiahkan single balada kepada peminat.
“Peminat sudah lama menantikan saya muncul dengan karya sebegitu dan lagu terbabit merupakan dedikasi istimewa saya kepada mereka.
“Biarpun sebelum ini saya muncul dengan Bagaikan Pelangi serta lagu Pinjamkan Hatiku duet bersama Adi Priyo dan ia mendapat sambutan positif, saya masih menerima permintaan peminat untuk muncul dengan lagu balada.
“Saya berharap lagu ini dapat menjadi hadiah bermakna untuk semua peminat yang menantikan karya terbaru saya dan lebih istimewa, ia dilancarkan pada hari lahir saya,” kata Ayda kepada MH.
Terdahulu, single berkenaan dihasilkan bersama komposer Indonesia, Irwan Simanjuntak. Pada masa sama, single ini juga menjadi lagu tema bagi drama bersiri terbaru lakonan Ayda, Asalkan Dia Bahagia yang kini sedang bersiaran.
Menerusi Instagram, teaser muzik video berkenaan turut dikongsikan Ayda dan rata-rata pencinta muzik memberi maklum balas positif terhadap lagu terbabit.
Lagu Mana Ada Hati (Yang Ingin Trus Disakiti) boleh ditonton di YouTube Ayda Jebat dan boleh didengari di semua pelantar digital bermula 29 Mac ini.
Foto: Instagram Ayda Jebat
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI