Penyanyi, Hazama memilih untuk menangguhkan dahulu hasrat untuk mencuba kaedah persenyawaan in-vitro (IVF) dalam usaha mendapatkan zuriat bagi memberikan tumpuan dalam penghasilan album kedua berjudul Pujangga.
Menurut Hazama, dia telah pun membelanjakan wang simpanannya untuk menyiapkan album ini justeru, menyerahkan urusan berkaitan anak kepada Allah SWT.
“Album ini diibaratkan seperti anak saya. Duit yang sepatutnya nak buat IVF, saya gunakan untuk buat album. Saya memang nekad. Jadi, soal anak ini saya serahkan kepada Allah.
“Kalau ada, adalah. Kalau tiada, saya enjoy sahaja. Isu ini lebih sensitif kepada perempuan. Ya, memang saya ada rasa sedih tapi saya seorang yang reda.
“Namun, kami masih lagi mencuba. Untuk proses IVF, kami tangguhkan dahulu,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Relakan Jiwa itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media dan pelancaran album Pujangga yang berlangsung di Royale Chulan Damansara, Petaling Jaya pada Khamis.
Katanya lagi, dia dan isteri yang juga pengarah muzik, Genervie Kam kini amat sibuk dan sukar untuk memberikan komitmen terhadap proses IVF.
“Sebelum ini, kami pernah jalani IVF sekali tapi tidak menjadi disebabkan beberapa masalah. Ditambah pula saya seorang perokok. Kita tak boleh terlalu sibuk dan stress untuk lakukan IVF ini.
“Isteri saya pula sangat sibuk dengan arrangement lagu untuk ramai artis. Baru-baru ini, isteri saya telah dimasukkan ke hospital kerana terlalu burn out. Kata doktor, dia diserang minor heart attack.
“Namun, saya tidak mahu gembar gemburkan hal ini. Pada saya, ini hal biasa kerana dia terlalu penat dan perlu rehat.
“Komitmen saya dan isteri membuatkan kami tidak punyai waktu yang solid untuk tenangkan fikiran ketika menjalani IVF,” katanya lagi.
Malah, Hazama turut menganggap segala yang berlaku ini mempunyai hikmah yang tersendiri dan dia reda dengan segala ketentuan Illahi.
“Saya okay sahaja. Lagipun saya ada anak buah dan dia memang tinggal dengan saya. Saya memang dikelilingi budak-budak.
“Sebab itu juga saya boleh buat album. Kalau ada anak, saya percaya yang saya tak akan boleh buat album kerana ada tanggungjawab yang perlu diutamakan.
“Album ini lagi best bekerja pada waktu malam. Kalau ada anak, siapa yang nak hantar ke sekolah tu? Mesti kena tidur awal. Segalanya ada hikmah,” akhirinya.
Selepas 11 tahun, Hazama telah pun menerbitkan album Pujangga yang memuatkan 10 buah lagu baharu.
Menurut Hazama, penghasilan album ini merupakan satu kepuasan buat dirinya sebagai anak seni meskipun ketika ini, ramai penyanyi yang memilih untuk menerbitkan single sahaja.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.