Penyanyi, Misha Omar mengakui turut terkesan dengan pemergian rakan penyanyi, Siti Sarah yang telah meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 pada jam 5.13 pagi Isnin.
Meski hanya sekadar bergelar sebagai rakan penyanyi, Misha menyifatkan pemergian penyanyi lagu Kesetiaan itu sebagai satu kehilangan besar buat dirinya dan seluruh rakyat Malaysia.
Tambah Misha, dia akan sentiasa kenang serta mendoakan untuk arwah Sarah.
“Innalillahiwainnailaihirojiun. Akhirnya, Sarah TINGGALKAN DIRIKU , dengan IZIN DARINYA.. Pemergianmu diratapi seluruh peminat industri tempatan, juga mereka yg masih aktif berkarya.
“Segala kebaikanmu yang terselindung di sebalik nama itu yg tidak diketahui sesiapapun selama ini …bertebaran mengharum di seluruh pelusuk tanahair…. cuma KESETIAAN yg akan Kak Chah pertaruhkan sampai KE HUJUNG DUNIA.. Sarah akan selalu ada dalam doa Kak Chah ye dik.
“Terima kasih juga buat sahabat-sahabat yg menitipkan ucapan takziah dan kata2 semangat kepada Kak Mitch selepas pemergian Allahyarham, kerana pasti tau Kak Mitch akan terkesan dengan kehilangan ini,” tulisnya.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Bunga-Bunga Cinta ini mendoakan agar suami kepada arwah Sarah iaitu Shuib supaya dapat mengharungi ujian ini dengan penuh tabah dan sabar.
“Kepada @shuibsepahtu , anda sgt hebat!! InsyaAllah kekuatan yg ada padamu akan memberikan inspirasi kepada suami-suami di luar sana.. hugs to the kids and Kak Mitch doakan semoga semua ahli keluarga diberikan ketabahan & kekuatan melalui ujian Allah..,” tulisnya lagi menerusi satu hantaran di akaun Instagram miliknya.
Terdahulu, Sarah sekeluarga telah disahkan positif Covid-19 pada 27 Julai lalu.
Selepas itu, Sarah telah dikejarkan ke HUKM selepas tahap oksigen dalam tubuh badan menurun pada petang Rabu.
Kemudian, dia terpaksa ditidurkan sebelum menjalani pembedahan bagi mengeluarkan bayi dalam kandungannya yang mencecah usia tujuh bulan lebih awal, pada 5 Ogos lalu.
Pada Jumaat bertarikh 6 Ogos, Sarah telah selamat melahirkan bayi lelaki diberi nama Ayash Affan.
Sarah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, Selangor pada Isnin petang.
Sekadar informasi, Sarah telah mendirikan rumah tangga bersama Shuib pada 26 Februari 2011 dan hasil perkongsian hidup, pasangan ini turut mempunyai tiga cahaya mata lain iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.
Foto: Instagram Misha Omar, Siti Sarah