Personaliti televisyen, Ras Adiba Radzi mengumumkan pengundurannya secara rasmi dalam bidang penyiaran selepas berkecimpung kira-kira 34 tahun dalam bidang berkenaan.
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu posting yang di muat naik di Instagram, dalam dwi-bahasa.
Sambil berkongsi perjalanan kerjaya sejak awal, Ras Adiba turut mengucapkan terima kasih dan menyifatkan pengundurannya adalah aturan dari Yang Maha Esa.
“Setelah 34 tahun, saya bakal tinggalkan sesuatu yang saya kasihi & dikasihi. Saya hidup, makan, lena & bertugas sebagai Penyelaras pakaian, Wartawan siaran, Pengulas sukan, Penerbit & Penyampai berita.
“Sejak 1986 di Jln Liku, saya menjadi Penyampai berita termuda negara. Saya seronok pabila diberi tugasan luar & membaca berita. Ianya hidup saya.
“Teruja sungguh pabila mendengar kiraan saat untuk ke udara & sejurus lampu dinyalakan. Namun hari ini adalah hari yang saya tahu akan jelang tetapi tidak tahu kapan akan tibanya.
“Saya adalah seorang pemberita selamanya & berat sungguh untuk saya buat keputusan ini.Saya harus tinggalkan kamu aduhai, jiwa saya. Dan malam ini jam 8,16Mei NTV7, berakhirlah sudah kisah cinta kita.
“Pabila dengan perlahan saya cabut keluar mikrofon yang tersemat di kolar jaket & alat pendengaran dari dalam telinga saya.Kalbu saya teresak menangis kerna inilah pengakhirnya.
“Terimakasih TV3, terimakasih NTV7.Maaf kerana saya terpaksa berundur,bukan kerana tidak sayang tetapi kerana rancangan Illahi sudah tersusun rapi.
“Esak saya teramat sungguh namun tidak akan mahu saya ucapkan selamat tinggal. Apa mungkin saya akan dirindui?,” tulisnya panjang lebar.
Media tempatan melaporkan Ras Adiba dilantik menjadi senator mewakili golongan orang kelainan upaya (OKU) dan difahamkan, majlis angkat sumpahnya sebagai Ahli Dewan Negara itu dijangka berlangsung pada Isnin depan.
Foto: Instagram Ras Adiba Radzi