Pelakon dan usahawan, Rozita Che Wan mengakui terkilan apabila mendakwa ada pengarah yang meminta sebuah produksi menggugurkan namanya hanya kerana tidak yakin dia boleh tampak ‘buruk’ sebagai pelakon.

Lebih 15 tahun terlibat dalam seni, Rozita yang mesra disapa Che Ta itu bagaimanapun pernah membuktikan dirinya tidak hanya bersandarkan keselesaan ingin sentiasa cantik di dalam skrin TV semata mata sebelum ini.

Misalnya menerusi tele-filem Dosa Siapa arahan Murali Abdullah yang disiarkan sekitar tahun 2011. Che Ta mendukung watak sebagai Halimah dalam tele-filem berkenaan dan tak kisah andai tak mengenakan solekan selain menjadi pengemis.

“Watak Halimah itu juga pernah melayakkan saya menjadi calon top 5, Pelakon Drama TV Wanita, Anugerah Skrin suatu ketika dulu.

“Sebelum itu saya pernah berlakon sebuah tele-filem dengan Fauzi Nawawi. Judulnya saya sudah tak ingat. Tapi saya dilacurkan suami dalam telefilem itu dan kemudian menghidap AIDS.

IKLAN

“Terbaru saya disolek buruk dan jadi tua dalam tele-filem My Future Husband yang disiarkan baru baru ini di Astro Citra terbitan Zeel Production. Mira Filzah dan Amy Mastura pun turut berlakon,” katanya.

Baru genap usia 48 tahun pada 9 Mac lalu, Che Ta menafikan dia hanya menerima watak ‘control’ cantik atau disolek tebal semata mata.

“Sejak mencari rezeki dalam dunia lakonan ini, saya sentiasa berfikir di luar kotak dan sanggup mencabar diri dengan apa saja watak.

IKLAN

“Siapa kata saya nak berlakon jadi cantik saja?,” katanya.

Bercakap mengenai hal membabitkan pengarah tersebut, Che Ta tidak mahu ambil pusing meski terkejut apabila mengetahuinya.

“Jujur saya agak terkejut apabila diberitahu seorang pengarah tak mahu saya berlakon di bawah arahannya.

IKLAN

“Mungkin selama ini, dia hanya nampak saya di Instagram barang kali. Tak apalah, saya berserah dalam soal rezeki. Kalau ada… adalah,” kata duta produk Mylea itu.

Dalam perkembangan lain, Che Ta dijangka ke Perlis hujung bulan ini untuk penggambaran sebuah drama.

Foto: Instagram Che Ta