Selepas 14 tahun berkecimpung di dalam dunia seni, aktor terkenal, Zul Ariffin akui penglibatannya di dalam program realiti bachelor pertama di Malaysia, Pencuri Hati sememangnya mempunyai cabaran tersendiri.
Menurut Zul, berkenalan dengan 13 wanita yang tidak pernah ditemuinya sebelum ini sedikit sebanyak mendatangkan rasa gemuruh.
“Pada mulanya, saya agak canggung kerana ini merupakan program realiti pertama saya. Berkenalan pula dengan 13 orang wanita, ia bukan perkara yang biasa saya lakukan.
“Kebiasaannya, bila kita bersembang dengan orang, tiada pun rakam-merakam ni tetapi kali ini, kamera memang ada di sekeliling kita. Ia merupakan pengalaman baru buat saya,” katanya kepada MH.
Dalam pada itu, Zul turut berharap agar orang luar tidak terlalu cepat memberikan persepsi negatif terhadap program ini kerana konsepnya sangat berbeza dengan negara-negara luar.
“Pada saya, ini hanyalah sekadar sebuah program televisyen. Tiada yang personal. Ia merupakan perkara yang telah saya persetujui dan akan berikan komitmen.
“Pada awalnya, memang saya ada nampak potensi program ini akan menjadi ‘panas’. Namun, Pencuri Hati ini bukan hanya sekadar dating memanjang. Tidak…Ia lebih daripada itu sebenarnya. Bukanlah kami dating dan luangkan masa bersama semata-mata.
“Lagipun, bukan hanya saya dan 13 gadis ini yang merakam sendiri aktiviti kami. Seluruh team produksi juga ada di belakang kami,” kongsinya lagi.
Pelakon filem J-Revolusi itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media progam Pencuri Hati yang diadakan di Glasshouse, Seputeh pada Selasa.
Jelas Zul lagi, program ini turut akan menampilkan sisi lain dirinya yang jarang dipertontonkan kepada umum sebelum ini.
“Saya dilatih untuk mengabaikan kamera di ketika berlakon. Jadi, untuk saya menjadi diri sendiri agak sukar. Kalau ditemu ramah untuk program live pun saya tak biasa. Kalau saya cakap saya segan, orang tak percaya.
“Dalam program ini pun saya ada cakap, kalau mereka mengharapkan saya menjadi lelaki romantik seperti yang mereka lihat di TV, itu bukan saya. Saya gagal. Program ini dah buktikan.
“Romantik ketika berlakon itu lain. Kalau kita tak tahu sesuatu watak, kita akan buat dengan baik. Sebab itu bukan diri kita,” ujarnya lagi.
Bagaimanapun, Zul memberitahu, dirinya juga senang apabila berpeluang untuk berkenalan dengan 13 wanita yang memiliki personaliti yang berbeza.
“Kesemua 13 wanita ini, kebanyakan mereka masih lagi muda. Apa yang membuatkan saya kagum dan teruja, mereka semua bercita-cita tinggi.
“Saya percaya ramai wanita masa kini yang sebegitu. Mereka tahu apa yang mereka mahukan. Ia sangat seronok untuk mengenali mereka dengan lebih mendalam.
“Saya juga ada usik mengusik sikit mereka. Seronok bila dapat tengok macam-macam personaliti. Sejujurnya, mereka semua wanita yang baik,” akhirinya.
Pencuri Hati menonjolkan 13 wanita berpesonaliti menarik yang bakal mempertaruhkan hati untuk memenangi peluang mengenali selebriti tampan Zul Ariffin selama 24 jam (during daylight).
Kesemua sepuluh episod program realiti ini akan ditayangkan eksklusif di sooka bermula 9 Disember 2022 sehingga 10 Februari 2023.
Penonton boleh menonton dengan melanggan pelan sooka VIP Entertainment pada harga RM15.90/bulan atau pelan sooka VIP TV pada harga RM62.90 sebulan untuk pengalaman menonton di skrin TV.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.