Pelakon Syifa Melvin memohon maaf atas salah faham yang berlaku menerusi kenyataannya di dalam satu video pendek yang kini sedang hangat diperkatakan di media sosial.
Menerusi laporan mStar, bintang berusia 26 tahun itu tidak mahu lagi memanjangkan isu terbabit.
Syifa mengakui kesilapannya namun tidak mempunyai niat untuk menghina mana-mana pihak.
“Sejujurnya saya bukan nak menghina sesiapa yang duduk di rumah setinggan atau PPRT. Tidak sama sekali dan jauh di hati saya nak menghina.
“Tapi bila orang dah salah faham, saya perlu bertanggungjawab. Saya minta maaf atas salah faham yang berlaku. Saya tidak ada niat nak berkata begitu.
“Apa yang saya maksudkan adalah mengenai jenis kain dan warna turban itu yang nampak mahal. Di mana saja anda pakai turban itu akan memberikan keyakinan diri.
“Itu sebenarnya maksud saya. Tetapi kenyataan itu disalah tafsir segelintir pihak. Apa-apa pun, saya akui ia tetap salah saya,” katanya seperti yang dipetik.
Terdahulu, pemilik nama lengkap Nur Syifa Athirah Amirol Melvin itu diminta mengulas mengenai video yang mengatakan penampilan seseorang individu akan nampak mahal apabila memakai turban seperti yang digayakannya meski tinggal di rumah setinggan dan PPRT.
Video yang merakamkan dirinya yang sedang dirias seorang wanita sambil melakukan tutorial turban mengundang reaksi bercampur-campur di kalangan netizen.
Dalam pada itu, adik kepada pelakon, Syatilla Melvin itu turut berharap tidak ada mana-mana pihak yang cuba mengeruhkan lagi keadaan.
“Saya minta tolong kepada semua pihak jangan membuat spekulasi sendiri dengan penulisan anda yang tidak betul.
“Nanti hanya menambahkan dosa netizen yang hanya membaca dan menilai daripada penulisan itu sedangkan saya tidak bermaksud sebegitu.
“Bila anda tulis cerita tak betul, anda yang menambah dosa sendiri dan orang lain juga,” ujarnya.
Sumber/Foto: mStar/Instagram Syifa Melvin
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI