“Sejujurnya, Saya Tak Menjangka Langsung…,” – Bad Indigo Syukur Terharu Terima Kerusi Roda Elektrik RM2,700

Share

Anggota kumpulan Indigo, Bad yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) bersyukur selepas menerima sumbangan kerusi roda elektrik berharga RM2,700 daripada Skuad Hijrah Prihatin TV Alhijrah, semalam.

Menurut Bad, 47, atau nama sebenarnya, Badrul Izhan Yeop Abdullah, kerusi roda menjadi satu keperluan disebabkan keadaan dirinya terutama selepas menjalani prosedur memotong semua jari kaki kiri akibat diabetis sejak Mac tahun lalu.

“Sejujurnya, saya tak menjangka langsung dapat kerusi roda elektrik ini. Sebabnya saya baru juga bercakap dengan rakan di tempat kerja dan semak harga nak beli kerusi roda ini. Selang beberapa hari dapat panggilan daripada pihak TV Alhijrah dan bertanya apa yang saya perlukan sekarang.

“Selepas artikel keluar di sebuah akhbar Jumaat lalu, mereka sekali lagi menghubungi dan maklumkan nak bagi kerusi roda ini. Alhamdulillah, rezeki Allah nak bagi.

“Diakui kerusi roda ini sangat diperlukan sekarang. Sejak saya menggunakan ‘walker’ dari September tahun lalu, ia sebenarnya memudaratkan kaki kanan saya. Setiap kali bangun dan duduk memang sakit dan susah. Jadi, dengan adanya kerusi roda ini memudahkan lagi pergerakan saya di tempat kerja,” katanya.

Bad yang kini bertugas di bahagian kreatif bengkel kereta Reiber Auto turut menambah, buat masa sekarang dia perlu memberi fokus pada kaki kiri selain perlu membersihkan luka di kaki atau ‘dressing’ selang sehari.

“Keadaan kesihatan sekarang, saya sihat, tapi kaki ini kena fokus untuk sembuh cepat. Tapi agak susah juga sebab ada satu lagi lubang belum tertutup.

“Hari itu saya terjatuh di rumah dan banyak darah mengalir dari lubang itu. Salah satu saluran darah di kaki pecah. Sebab itu saya tidak boleh terlalu agresif. Cuma, bila tak agresif, saya pula berasakan diri lemah dan sakit. Sebab itu saya kena juga kerja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kumpulan Integrasi Media dan Hal Ehwal Korporat TV AlHijrah, Saifulizan Sidek berkata, sumbangan diberikan pada Bad Indigo satu daripada projek Hijrah Prihatin Anak Seni yang dijalankan sepanjang Ramadan ini.

“Hijrah Prihatin Anak Seni ini satu daripada edisi Hijrah Prihatin sempena Ramadan yang kami jalankan.

“Menerusi program ini, kami tanya kepada anak seni itu apa yang mereka perlukan selain barang dapur. Macam Bad, dia perlukan kerusi roda elektrik dan ‘walker’.

“Selain Bad, kami juga serahkan sumbangan pada pelakon dan penyanyi, Munirah Kadir, Sazali P Ramlee dan Mek Habsah,” katanya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH