Hiburan

“Sejujurnya Saya Tak Rasa Akan Menang,” – AJL38, Amir Jahari Tak Nervous, Berserah Sahaja…

Share

Dilabel sebagai finalis ‘underdog’ yang mampu memberikan saingan kepada nama-nama besar di Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38), penyanyi, Amir Jahari hanya mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap persembahannya menerusi lagu Hasrat.

Menurut Amir, persembahannya nanti tidak akan tertumpu kepada gimik-gimik besar sebaliknya dia mahu menyampai emosi kepada penonton.

“Seperti semua tahu, AJL ini merupakan satu pertandingan. Namun, bagi saya secara peribadi, ia bukan pertandingan.

“Saya hanya nak berikan persembahan terbaik dan sampaikan rasa menerusi lagu ini.

“Persediaan sudah pun mencapai 90 peratus. Tidak akan ada gimik yang besar kerana fokus saya adalah kepada penceritaan mesej yang ingin disampaikan,” katanya kepada MH.

Pada masa sama, Amir akui risau kerana langsung tidak berasa gemuruh meskipun AJL38 bakal berlangsung kurang tiga minggu sahaja lagi.

“Saya takut dengan diri sendiri sebab saya tiada perasaan gementar. Bila buat persembahan, semua artis akan ada rasa adrenalin rush dan gemuruh tapi saya tiada rasa itu.

“Dalam fikiran, saya tetapkan AJL ini nanti sebagai satu persembahan sahaja. Jadi, sampai ketika ini, saya masih rasa relax lagi.

“Apa-apa keputusan pun sama ada menang atau kalah, saya tak kisah. Saya berserah sahaja,” ujarnya lagi.

Penyanyi lagu Penghibur Jalanan ini juga percaya setiap finalis mempunyai kekuatan yang tersendiri.

“Kalau bercakap soal pertandingan, saya suka lagu Aisha Retno, Faizal Tahir dan Aina Abdul. Sejujurnya saya tak rasa saya akan menang. Mungkin saya ada kelebihan dibahagian lirik disebabkan filem Imaginur.

“Namun, dari sudut dinamik dan penceritaan lagu, saya tak rasa lagu saya cukup kuat untuk bertanding di AJL. Pada pandangan saya pula, sesebuah lagu itu tak sepatutnya dinilai.

“Semua karya ada identiti dan kekuatan masing-masing. Jadi, saya tertanya kepada diri sendiri, apa motif AJL sebenarnya.

“Ia pertandingan untuk mencari lagu terbaik pada saya semua lagu adalah terbaik.

“Macam mana juri nak menilai? Saya pun tak tahu. Lagu saya bukan untuk pertandingan tapi untuk dirasa dan dihayati sahaja,” akhirinya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf