Penyanyi nombor satu, Datuk Seri Siti Nurhaliza memanjatkan rasa syukur di atas penganugerahan Biduanita Negara sempena Anugerah Seni Negara 2024, malam tadi.
Menerusi kenyataan media yang dikongsikan pada malam Rabu, Siti merakamkan ucapan penghargaan buat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Komunikasi kerana mengangkat namanya sebagai Biduanita Negara yang ketiga.
“Terima kasih tidak terhingga kepada Kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Komunikasi di atas anugerah ini.
“Dari hati yang luhur, saya melihat anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan kepada pencapaian kerjaya seni saya, namun merupakan lambang penghargaan kepada semua insan seni yang sentiasa memperjuangkan keindahan budaya dan muzik tanah air,” katanya.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Jerat Percintaan ini turut menyifatkan ia sebagai satu tanggungjawab dan amanah untuk terus memartabatkan industri seni tanah air ke peringkat yang lebih tinggi.
“Amanah dan kepercayaan ini juga merupakan satu tanggungjawab buat saya secara peribadi untuk terus memartabatkan seni dan budaya terutama dalam bidang muzik untuk terus cemerlang dan subur mewarnai zaman.
“Kepada Allah SWT saya panjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kerana dengan kurniaan bakat, saya berpeluang memanfaatkannya untuk memberi nilai-nilai positif, inspirasi dan pengaruh yang baik.
“Seni juga menghubungkan dan menyatukan kita tanpa mengira agama, bahasa, bangsa dan negara,” ujarnya lagi.
Malah, anugerah Biduanita Negara ini turut menjadi pemangkit semangat buat dirinya untuk terus menghasilkan karya-karya terbaik seterusnya mengharumkan nama Malaysia.
“Justeru, saya berikrar untuk terus menggandakan usaha memberikan nilai positif dalam mengekalkan seni budaya untuk terus dihormati, dijaga, dihargai kerana inilah warisan yang kita ada dan perlu dipelihara.
“Dalam meraikan detik paling manis dan bermakna ini, ingatan saya tertoleh kembali mengingatkan bait-bait kata ayah saya, Allahyarham Haji Tarudin Ismail yang sering mengibaratkan saya seperti bunga melur iaitu lagu kegemaran arwah,” kongsinya lagi.
Menerusi kenyataan sama, ibu kepada dua cahaya mata ini juga merakamkan ucapan penghargaan buat keluarga dan semua pihak termasuk para peminat yang selama ini menjadi tulang belakang dalam perjalanan kerjayanya sebagai anak seni.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan yang tulus khususnya kepada orang terdekat saya iaitu suami, anak-anak, ibu, arwah bapa, kaum keluarga, pengurusan, petugas dan kakitangan.
“Tidak ketinggalan, rasa terima kasih ingin saya panjangkan kepada syarikat-syarikat rakaman serta semua penerbit, komposer dan penulis lirik yang pernah terlibat dalam kerja-kerja penerbitan album saya selama ini.
“Penghargaan juga buat semua sahabat-sahabat media di semua platform yang setia memberi sokongan kepada karier saya selama ini.
“Tidak dilupa buat peminat-peminat tersayang dan pencinta muzik di seluruh rantau ini serta semua yang telah mendukung kerjaya saya selama ini,” akhirinya.
Terdahulu, Siti menerima anugerah itu dalam majlis penuh gilang-gemilang, Anugerah Seni Negara (ASN) 2024 yang dianjurkan di Kuala Lumpur pada Rabu.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan kepada legenda muzik tanah air itu.
Selaku penerima Anugerah Khas ASN 2024: Biduan Negara, beliau akan menerima wang tunai RM30,000, kain songket, watikah serta trofi dan status sebagai Seniman Tamu.
Siti Nurhaliza ialah individu keempat yang diberikan anugerah berprestij itu, selepas Allahyarham Saloma pada tahun 1978, Allahyarham Datuk Sharifah Aini pada 2006 dan Allahyarham Tan Sri SM Salim pada 2013.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini