Hos dan usahawan, Noor Neelofa Mohd Nor terpaksa menjalani tempoh kuarantin selama seminggu di sebuah hospital akibat jangkitan Influenza A.
Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook miliknya, admin ada memaklumkan pengacara MeleTop itu telah dijangkiti virus berkenaan ketika dalam perjalanan ke Arab Saudi.
“Dengan rendah hati saya ingin mohon maaf kepada semua pelanggan, rakan kongsi dan mereka yang sudah membuat temujanji dengan saya sepanjang minggu ini.
“Saya juga terpaksa menolak dengan baik untuk menghadiri semua jemputan majlis dan sesiapa yang ingin melawat kerana ia berjangkit,” jelasnya.
Terdahulu, Neelofa menyedari dirinya kurang sihat sejurus tiba di Malaysia lantas ke hospital bagi menjalani pemeriksaan.
Bagaimanapun, Lofa mengharapkan agar kesihatan dirinya kembali baik dan mampu untuk kembali bekerja.
“Harapnya kesihatan saya berada dalam keadaan yang baik dan boleh kembali bekerja. Pohon doa agar cepat sembuh,” pinta Lofa.
Foto: Facebook, Instagram Neelofa