Berita

Sejurus Tonton Riena Diana Berlakon Teater Buat Pertama Kali, Reaksi Keith Foo – “Jujurnya Rasa Bangga…”

Share

“Jujurnya, rasa bangga…,” Demikian reaksi aktor, Keith Foo sejurus menonton persembahan sulung kekasihnya, aktres Riena Diana menerusi teater Andak Bertandak yang sudah pun selesai pementasan hari pertama, bermula semalam.

Menurut Keith Foo, dia gembira melihat keyakinan serta keberanian Riena dalam menggalas tanggungjawab di dalam teater bergenre komedi arahan Azhar Zainal itu.

“Mengenali Riena, dia sebelum ini memang takut untuk keluar daripada zon selesa selain lebih cenderung untuk bekerja dengan produksi yang tertentu sahaja.

“Lalu bila dia berani ambil cabaran berbeza, dengan berlakon naskhah teater pula buat pertama kali, saya yang hadir menonton untuk beri sokongan pun tumpang teruja.

“Begitu juga dengan persembahan rakan pelakon lain, Semuanya saling melengkapi demi memastikan yang terbaik, tahniah buat produksi,” katanya.

Keith berkata demikian ketika ditemui sejurus pementasan hari pertama teater Andak Bertandak di Pentas 2, The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC), pada Khamis.

Keith Foo sebelum ini pernah terbabit di dalam pementasan teater Ombak Rindu Tiada Penghujung yang dipentaskan di Istana Budaya beberapa tahun lalu.

Ditanya mengenai perkembangan hubungan di antara mereka pula, Keith meminta ramai untuk mendoakan yang baik-baik.

“Kami baru sahaja selesai menjalani penggambaran bersama untuk sebuah projek drama di New Zealand. Harapnya ada khabar yang baik, kita tengoklah macam mana”, katanya.

Terdahulu, skrip teater Andak Bertandak hasilan Fasyali Fadzly yang juga Dekan Fakulti Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) itu bakal dipentaskan sehingga 1 September depan.

Selain Riena, turut sama terlibat di dalam pementasan ialah Ellie Suriaty, Azhan Rani, Jay Iswazir, Dottie, Fadhli Masoot, Aizat Saha dan Razman Mahayuddin.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
MH