Tahniah diucapkan buat pelakon, Aliff Muhaimin yang telah selamat bergelar suami kepada pilihan hatinya, Nur Fatin Alissa Azam dalam majlis akad nikah yang berlangsung di Ghazi House, Hulu Langat, Selangor tapat jam 11.55 pagi.
Dengan sekali lafaz, pasangan sama cantik sama padan itu dinikahkan oleh
wali yang juga merupakan bapa pengantin perempuan, Azam Abdullah dan disaksikan Penolong Pendaftar Pernikahan, Penceraian dan Rujuk Orang Islam, Kariah Masjid Al-Ehsan, Sungai Serai, Hulu Langat, Ahmad Khaliq Ahmad Rasid.
Dalam majlis itu, Aliff atau nama sebenarnya Alif Muhaimin Abdul Rahman menyerahkan mas kahwin RM15,000 dan sebentuk cincin.
Sementara itu, Aliff turut memberi lima dulang hantaran dan dibalas tujuh oleh pihak pengantin perempuan.
Ketika ditemui media, bintang kelahiran Hero Remaja 2017 itu memanjatkan rasa syukur dan berharap agar segala urusan hari bahagianya itu dipermudahkan.
“Alhamdulillah, saya akan bergelar suami hari ini. Saya sangat gembira hari ini dan tak sabar nak tunggu semuanya selesai.
“Doa-doakanlah. Harap segalanya berjalan dengan lancar,” katanya kepada MH.
Pasangan raja sehari ini akan diraikan dalam satu majlis resepsi di lokasi yang sama malam ini.
Majlis akad nikah itu dihadiri kira-kira 200 orang tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga kedua-dua belah pihak.
Majlis diserikan lagi dengan kehadiran rakan selebriti, Safwan Nazri yang bertindak selaku pengapit kepada Aliff.
Terdahulu, Aliff dan Fatin Alissa telah mengikat tali pertunangan pada tanggal 22 Oktober 2022.