“Sekarang 13 Jam Saya Perlu Pakai Alat Bantuan Pendengaran,” – Zee Avi

Share

Penyanyi Zee Avi mendedahkan dia kini memilih untuk menggunakan alat bantuan pendengaran selama 13 jam sehari selepas mengalami masalah pendengaran sejak beberapa tahun lalu.

Menurut Zee, 37, atau nama sebenarnya Izyan Alirahman, alat bantuan pendengaran itu yang digunakan sejak setahun lalu itu dipakai pada kedua belah telinganya. 

“Kalau orang panggil pekak, ya, nak buat macam mana lagi kan. Tapi perkataan pekak itu sebenarnya agak sensitif untuk kebanyakan orang sebab kesukaran pendengaran ini ada banyak tahap. Apa yang saya alami adalah hilang pendengaran tapi untuk orang pekak mereka memang daripada lahir.

“Jadi, saya sebenarnya hilang pendengaran. Bila tak jaga kesihatan pendengaran macam itulah ceritanya. Sekarang ini 13 jam saya perlu pakai alat bantuan pendengaran ini, kalau tidur tak pakai. Bila bangun saja terus pakai. Kalau tak pakai bunyinya macam dalam otak. Jadi, rasanya sangat sunyi.

“Sejak tahun lalu, saya perlu pakai alat ini di kedua belah telinga. Kalau tak buat sesuatu, ia akan menjadi makin teruk. Kalau saya tak guna alat ini, kita akan kuatkan lagi bunyi jadi ia akan jadi lebih teruk. Saya sangat bersyukur disebabkan teknologi alat ini jadi tak nampak pun sebenarnya kalau saya pakai,” katanya kepada MH.

Zee menambah, susulan situasi yang dialami sebelum ini, ia sekaligus menyebabkan dia menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi terutamanya dalam hal melibatkan kerja.

“Apa yang seksa adalah bila ramai kawan yang bercakap lemah lembut, jadi bila nak suruh mereka kuatkan suara, saya yang rasa macam mereka sedang sakit. Bila mereka kuatkan sikit suara, mereka dah rasa macam menjerit jadi saya tak mahu lakukan itu kepada kawan saya.

“Lama kelamaan saya akan rasa malas nak bagitahu. Setiap kali kalau saya pergi mesyuarat dengan menteri atau orang penting takkan saya nak bagitahu mereka supaya kuatkan suara.

“Apabila tak dengar, kelantangan suara itu makin lama makin kuat. Pembesar suara ‘bluetooth’ pun kena letak berhampiran saya. Sekarang ini tak perlu guna dah. Kalau buat pembesar suara dekat telefon pun tak dengar. Tetapi sekarang dah makin baik dan mudah dengan alat ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Zee ditemui pada majlis Exclusive Screening Hour With The Stars yang dibawakan oleh Global Hearing Care Malaysia, pada Selasa.

Sementara itu, Zee yang popular menerusi lagu Kantoi tidak menafikan, sokongan moral terutama daripada ahli keluarga dan suami membuatkan dirinya nekad untuk mendapatkan bantuan daripada audiologis di Global Hearing Care Centre GHCC), Wangsa Maju.

Sesi tersebut bermula dengan sesi ujian pendengaran dan konsultasi, Zee akhirnya bersetuju untuk menggunakan alat bantuan pendengaran.

“GHCC juga menawarkan servis alat bantu pendengaran, ujian pendengaran bagi bayi dan dewasa, serta konsultasi masalah pendengaran selain menjadi pengedar beberapa jenama terkemuka Alat Bantu Pendengaran seperti Bernafon, Oticon, Phonak & Widex,” katanya.

Global Hearing Care Centre (GHCC) adalah klinik audiologi yang mempunyai enam cawangan di Semenanjung dan menawarkan perkhidmatan alat bantu pendengaran, ujian pendengaran bagi bayi dan dewasa serta konsultasi masalah pendengaran.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH