Pelakon, Anita Baharom mendedahkan dia reda dengan ketentuan Ilahi seterusnya cuba menjalani kehidupan seperti sedia kala bersama anak-anak selepas kematian suami yang juga penerbit, Ismadi Ismail pada 1 Januari lalu.
Menurut Anita, fokusnya kini hanya mahu menjalankan tanggungjawab sebagai ibu tunggal kepada tiga permata hatinya selain meneruskan komitmen dalam seni.
Perkongsian itu diceritakan Anita ketika diundang di dalam program Wanita Hari Ini di TV3, baru-baru ini.
“Alhamdulilah, saya meneruskan kehidupan selagi hidup dan menjalankan amanah yang Allah berikan untuk membesarkan anak-anak.
“Nak tak nak, saya kena jalankan tanggungjawab sebagai ibu dan bapa kepada anak-anak. Dulu lain sekarang lain, dulu hanya sebagai seorang isteri di rumah tapi sekarang semua,” katanya sambil mengalir air mata.
Jelas ibu kepada tiga orang cahaya mata ini, memori bersama arwah suami sentiasa ada di dalam fikiran.
“Sebagai seorang beragama Islam, kita kena serahkan bulat-bulat kepada Allah SWT itu yang pertama. Kedua pula, anak-anak yang jadi sumber kekuatan kemudian sokongan daripada kawan-kawan.
“Kawan yang baik sanggup mendengar luahan hati kita, sebab macam saya lepas meluahkan saya rasa lega sekejap lepas itu.
“Bulan pertama selepas arwah meninggal, saya tak tahu kenapa tapi setiap pukul 6 pagi dan 6 petang saya akan menangis.
“Masuk bulan kedua, tempoh saya berehat untuk bertenang dan masuk bulan ketiga baru saya macam okey sikit selepas mula jalani penggambaran drama.
“Rupanya, saya kena sibukkan diri buat kerja dan sebagainya baru lah saya akan okey. Tapi walau macam mana pun, bila saya balik rumah nampak gambar arwah sahaja terus rasa sunyi itu datang,” luahnya lagi.
Terdahulu, Anita dan Allahyarham Ismadi mendirikan rumah tangga bersama pada tahun 2006 dan dikurniakan tiga cahaya mata, Syifa Dhia Nurina, Mohamad Dhia Iskandar dan Mohamad Dhia Mikail.
Allahyarham Ismadi menghembuskan nafas terakhir pada usia 50 tahun akibat penyakit kencing manis di kediamannya di Shah Alam.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
Foto: Instagram Anita Baharom
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI