Hiburan

“Sekolah Tetap Kena Pergi,” – Qisya Hairul Zain Pesan Dahulukan Solat & Ilmu, Anggap Bakat Lakonan Boleh Diusahakan

Share

Pelakon Kanak-Kanak Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-33 (FFM33) Qisya Hairul Zain berpendapat pelakon kanak-kanak lain perlu sentiasa mengutamakan pelajaran terlebih dulu meski berminat untuk berkecimpung di dalam dunia seni.

Menurut Qisya, 12, jangan disebabkan terlalu ingin mengejar impian bergelar pelakon, ilmu dan sesi persekolahan tidak dititikberatkan.

“Buat kanak-kanak yang ingin bergelar pelakon, pada saya, kita kena dahulukan ilmu. Untuk menjadi pelakon, perkara itu boleh diusahakan.

“Namun, ilmu dan solat jangan sesekali dilupakan. Jangan sampai tak pergi sekolah,” katanya kepada MH.

Anak saudara kepada pelakon Haliza Misbun berkata sedemikian ketika ditemui di majlisnh sidang media FFM33 yang berlangsung di Kota Media, Angkasapuri, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Dalam pada itu, Qisya akui teruja dengan kemenangan di FFM33 ini seterusnya dapat membanggakan seluruh ahli keluarganya.

“Saya rasa bangga dengan diri sendiri. Perasan gembira itu agak sukar untuk digambarkan.

“Saya gembira dapat kongsikan kemenangan ini bersama orang-orang yang sayang dan sentiasa menyokong saya,” katanya.

Katanya dia juga tidak pernah terbayang untuk menggenggam trofi berprestij ini pasa usia yang sangat muda.

“Saya langsung tak menjangkakan kemenangan ini. Saya rasa calon-calon lain lebih baik berbanding saya dan mereka lebih layak.

“Sewaktu melakonkan watak ini, saya tak pernah terbayang pun akan tercalon apatah lagi nak menang. Saya merasakan Syed Muhammad Baqir daripada filem Memoir Seorang Guru yang akan menang,” katanya.

Ditanya mengenai inspirasinya untuk bergelar pelakon, ini jawab Qisya;

“Saya terinspirasi dari ibu dan ibu saudara saya. Ibu saya dahulu selalu jalani penggambaran dan saya selalu ikut dia. Lama-kelamaan saya jadi minat.

“Bila dapat tawaran pertama, saya bersemangat untuk melakukan yang terbaik. Tawaran pertama saya adalah ketika empat tahun,” akhirnya.

Terdahulu, lakoman mantap yang ditunjukkan Qisya menerusi filem Magik nyata telah menambat hati juri seterusnya menobatkan dirinya selaku pemenang anugerah Pelakon Kanak-Kanak Terbaik FFM33.

Selain trofi, Qisya turut membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

Published by
Aizam Manaf