“Sekurang-Kurangnya Dato Seri Rossa Ingat Saya Menegur Beliau…,” – Iqbal Perjelas Keadaan, Nak Kenal Tak Semestinya Mahu Berkahwin

Share

Usahawan Ahmad Iqbal Zulkelfi mengakui apa yang diperkatakan oleh penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Seri Rossa yang tidak mengenali dirinya sebagai benar.

Menurut Iqbal, dia hanya dalam peringkat mahu mengenali bintang popular itu dan tidak semestinya mahu berkenalan untuk berkahwin semata-mata.

Iqbal bagaimanapun bersyukur kerana paling tidak, penyanyi yang terkenal menerusi lagu Hati Yang Kau Sakiti itu mengingati dirinya saat mahu merakam gambar bersama.

“Benar apa yang saya katakan, saya masih mahu mengenali. Mengenali tidak semestinya mahu berkahwin. Berkawan mungkin, atau kerjasama apa yang boleh.

“Alhamdulillah… sekurang-kurangnya Dato Sri @itsrossa910 ingat saya menegur beliau kerana hanya saya seorang dari Malaysia ketika itu. Jangan risau, saya tahu untuk menjaga privasi dan kehormatan seseorang.

“Tidak semua perkara boleh dijadikan kontent. Saya juga masih sedar diri,” tulisnya menerusi Insta Stories, pada Isnin.

Terdahulu, Rossa tertanya-tanya mengenai siapakah lelaki dari Malaysia yang mahu berkenalan dengannya, sejurus ditanya pihak media hari ini.

Rossa yang ditemui ketika sidang media secara virtual single terbaharu berjudul Terlalu Berharap berkata dia tidak mengenali bekas pembantu peribadi Datuk Seri Vida dan berfikir-fikir apakah mereka pernah berjumpa sebelum ini.

Apabila dimaklumkan Iqbal ada berjumpanya ketika menghadiri tayangan perdana filem Love Knots di Jakarta baru-baru ini, Rossa mengakui dia memang ada bertemu seseorang dari Malaysia yang minta bergambar.

Namun Rossa bersikap terbuka sekiranya ada yang mahu merakam foto bersama atau mahu berkenalan kerana dia okay untuk menjalin persahabatan lain seperti rakan-rakan lain.

Terdahulu menerusi pertemuan di Indonesia itu, Iqbal menyifatkan Rossa sebagai wanita lemah lembut, sopan dan minimalis dalam berfesyen.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH