“Selagi Ada Perut & Berasa Lapar, InsyaAllah Saya Hulur Bantuan,” – Video Bagi Makan Anjing Jalanan Tular, Zara Zya Mahu Terus Bantu Tak Kira Makhluk

Share

Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai sebuah video yang memaparkan tindakan murni pelakon, Zara Zya yang dilihat memberi makanan buat anjing jalanan.

Video yang dikongsikan di laman Instagram itu nyata mendapat pujian dan reaksi positif daripada ramai pihak.

Memetik laporan Kosmo Online, Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, sifat bantu-membantu ini sememangnya sudak sebati dengan kehidupnya dan dia merasakan semua pihak termasuk haiwan berhak untuk dibantu.

Katanya lagi, selagi diberikan kudrat dan kemampuan dia akan terus menghulurkan bantuan buat sesiapa sahaja yang memerlukannya.

“Saya memang suka menghulurkan bantuan kepada semua yang memerlukan dan umum tahu saya ada pertubuhan sendiri iaitu Malaysia Prihatin.

“Semua golongan tidak kira kaum, bangsa mahpun jenis makhluk saya akan bantu. Selagi makhluk itu bernyawa, ada perut dan berasa lapar, insya-Allah saya hulur bantuan,” katanya seperti yang dipetik.

Mengulas lanjut mengenai video tular itu, pelakon drama, Pia ini berharap agar bantuannya itu dapat menjadi ikutan buat masyarakat di luar sana.

Malah, Zara juga turut menzahirkan rasa terharu terhadap komen-komen pujian yang diberikan oleh netizen.

“Sangat terharu dengan pujian ramai. Dalam ruangan komen ramai yang puji malah ada yang ingin melakukan perkara serupa.

“Semoga apa yang saya lakukan ini menjadi asbab kebaikan untuk lebih ramai orang melakukan perkara baik terhadap semua orang. Jangan pinggirkan haiwan sebab mereka juga makhluk Tuhan,” jelasnya lagi.

Setakat ini, video berdurasi hampir 30 saat telah pun meraih lebih 500,000 jumlah tontonan selain turut dihujani ribuan komen.

Selain bergelar pelakon, Zara juga dilihat sibuk menguruskan pertubuhan kebajikannya sendiri yang dikenali sebagai Malaysia Perihatin.

Sumber: Instagram Zara Zya & Kosmo Online

Published by
Aizam Manaf