Kumpulan nasyid, Inteam menegaskan mereka tidak mahu terlibat dalam sebarang isu yang melibatkan bekas anggota kumpulannya itu, Suhaimi Saad.
Menurut penyanyi utama kumpulan Inteam, Syahril Khalid, setiap orang mempunyai pendapat mereka sendiri dan biarlah orang yang lebih pakar menegurnya dalam isu ini.
“Inteam telah pun mengeluarkan kenyataan bahawa kami tidak bersetuju dengan pendapatnya itu namun, sebagai kawan kami menghormati pendiriannya itu.
“Kami kesian melihat keadaan Suhaimi tetapi untuk menasihatkannya secara peribadi saya rasa biarlah orang yang lebih arif yang lakukan kerana isu yang dibangkitkannya itu sangatlah spesifik terhadap sesuatu bidang,” katanya ketika ditemui di sidang media Konsert Amal 4NOMENA di Vilej Damansara, pada Rabu.
Ketika ditanya, adakah Inteam akan membuat persembahan bersama Suhaimi selepas ini, ini respon yang diberikan oleh penyanyi lagu Kasih Kekasih itu;
“Selagi dia masih beriman, kami akan buat persembahan bersamanya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Inteam bakal mengadakan konsert amal bersama tiga lagi kumpulan nasyid dibawah naungan Hijjaz Records iaitu Hijjaz, UNIC dan Mestica.
Konsert yang dianjurkan oleh KGM Event dengan kerjasama Alumni UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) bakal berlansung pada 20 April 2019 di Dewan Utama, Pusat Kebudayaan UIAM .
Tiket dijangka akan dijual dalam masa terdekat bermula dengan harga RM15 hingga RM60.