Langkah Hariz Hamdan dalam bidang lakonan semakin menyinar selepas menyertai pertandingan Hero Remaja 2020 apabila wajahnya kini dilihat banyak menghiasi drama tempatan.
Berbekalkan dua tahun pengalaman, Hariz atau nama sebenarnya, Muhammad Hariz Muhammad Hamdan, 20, berkata ada pelbagai kenangan manis dan pahit sepanjang tempoh tersebut.
Menceritakan pengalaman pahit yang pernah dilaluinya, Hariz mendakwa dia sebelum ini dia pernah dilayan buruk oleh beberapa pelakon senior hanya kerana umurnya yang masih muda.
“Sebelum ini ada segelintir artis yang layan saya buruk kalau saya dedahkan umur.
“Bila saya masuk set pada hari pertama, saya borak macam biasa dengan dia tapi bila start saya beritahu umur saya, mereka macam kurang berinteraksi dengan saya.
“Boleh kata ibaratnya macam saya tak sama level dengan mereka.
“Benda ini beri kesan pada emosi saya sebagai pelakon sebab kita nak sparring dan kita nak jadi selesa dalam set penggambaran.
“Bila mereka buat macam itu ia sedikit sebanyak beri kesan kepada saya.
“Sebab itu sekarang bila setiap kali saya masuk set sahaja, selagi orang (pelakon lain) tak tanya umur, memang saya tidak akan beritahu. Itu tips saya sekarang,” katanya kepada Media Hiburan.
Dalam perkembangan terbaharu, Hariz kini sedang sibuk dengan penggambaran filem seram, Jemputan Ke Neraka arahan Amor Rizan.
Selain Hariz, filem terbitan AN Universal itu turut dibintangi Janna Nick, Sharifah Sakinah, Hafreez Adam, Jasper Supayah, Amy Nur Tinie dan Nick Syaf.
Menceritakan pengalamannya, Hariz berkata dia selesa bergandingan dengan nama-nama besar seperti Janna, Sakinah dan Hafreez yang tidak lokek dalam memberikan ilmu lakonan.
“Sebelum ini saya dah banyak kali pegang watak Mr. Charming, takkan asyik nak pegang karakter sama sahaja kan.
“Sebab itu saya ambil watak ini, nak step up dalam karier lakonan saya. Watak saya dalam filem ini memang sangat-sangat lain daripada yang pernah saya lakonkan sebelum ini.
“Kalau nak tahu, kena tengok filem ini nanti,” katanya.
Jemputan Ke Neraka mengisahkan tentang Ivy (Janna) seorang kurator balai seni, mendapat satu kad jemputan ke perkahwinan Lisa (Jasper), sahabat lamanya dari universiti. Ivy memujuk
tunangnya, Norman (Hafreez) untuk menemaninya ke majlis perkahwinan tersebut.
Majlis perkahwinan mewah itu dibuat di sebuah banglo jauh di atas bukit kawasan peranginan yang terasing.
Tiba di sana, Norman bertemu dengan rakan sekolahnya Rania (Sakinah), Sofia (Tinie) dan Adam (Nick Syaf).
Merasakan pengunjung lain belum tiba, mereka memutuskan untuk mencari Lisa di dalam banglo. Kejadian ngeri lima sahabat itu bermula apabila mereka menjumpai mayat Lisa
tergantung dalam sebuah bilik.
Dalam keadaan panik mereka cuba ingin mendapatkan bantuan tetapi kesemuanya kereta mereka tidak dapat dihidupkan dan hari mulai gelap.
Mereka terpaksa memutuskan untuk tinggal di dalam banglo tersebut.
Satu demi satu kejadian ngeri berlaku, seorang demi orang mati dalam keadaan ngeri.
Apakah sebenarnya misteri yang menyelubungi kematian Lisa dan lain-lain? Sama-sama nantikan Jemputan Ke Neraka yang dijangka ditayangkan pada tahun hadapan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Foto: Instagram Hariz Hamdan