Pelakon dan usahawan, Rozita Che Wan mengakui kebelakangan ini, dia lebih terbuka dan selesa untuk berkongsi pengisian rohani serta Islamik di media sosial.
Tidak terikut atas desakan mana-mana pihak, sebaliknya ia hadir dari hati ikhlas, begitu juga dalam hal berkaitan dengan penampilannya kini.
Terdahulu, ibu kepada tiga cahaya mata ini mengakui lebih selesa mengenakan persalinan yang lebih longgar berbanding sebelum ini menerusi satu temu bual bulan lalu.
“Bagi saya, ia berlaku secara natural sebabnya, bila nak lakukan suatu hijrah itu ia merupakan satu proses positif dan pastinya saya mahu kekal istiqamah.
“Semua orang boleh lakukan hijrah mengenakan tudung, tapi sejauh mana tahap kerelaan itu yang lebih penting,” katanya kepada MH.
Malah jelasnya lagi dalam perkembangan media sosial kini, setiap orang boleh belajar dan mengetahui seseuatu hukum hakam dalam Islam dengan lebih mudah.
“Bagi saya, sekarang kita nak mendalami Islam lebih mudah. Ikuti beberapa akaun Islamik atau ustaz bertauliah untuk mendapatkan ilmu agama.
“Cuma saya pun ada ikuti juga akaun mereka yang tak pakai tudung, tapi tahu tak selama mana kita likes atau kongsi foto mereka yang dedah aurat, selama itulah kita akan tanggung dosa. Sebab itulah saya sudah jarang likes gambar orang tak pakai tudung,” jelasnya.
“Saya sendiri baru tahu benda tu. Ia salah dan haram meski kita kongsi atau pun kasi tanda suka. Sebabnya, kita cuba sebarkan mereka yang tidak menutup aurat.
“Lagi satu sebabnya mudah. Kita ni ada pengikut yang ramai. Jadi rasanya sudah tiba masa untuk saya kongsi hal-hal atau kapsyen yang lebih beri manfaat buat pengikut,” katanya lagi.
Ditanya apakah reaksinya andai masih ada pihak yang memuat naik video atau ulang tayang drama lakonannya ketika masih belum mengenakan tudung pula, ini jawab Che Ta;
“Itu saya bukan punya bidang kuasa. Allah tahu niat dan hati kita. Saya sendiri tidak mampu untuk sekat atau minta mereka untuk hentikan.
“Cuma selagi saya tidak kongsi foto lama saya, tetapi orang lain yang sebarkan ia bukan salah kitalah,” kongsi Che Ta yang bakal tampil sebagai hos bersama untuk program masakan Rasa sebanyak 13 episod untuk siaran Astro.
Foto: Instagram Rozita Che Wan