“Selamat Hari Pahlawan, Satriaku,” – Ucapan Penuh Makna Dayah Bakar Buat Imamnya, Kapten Hanif

Share

Awal semalam, pengacara Dayah Bakar ada memberikan dedikasi paling istimewa buat suami tercinta, Kapten Muhammad Hanif Hamidi, bersempena dengan sambutan Hari Pahlawan tahun ini.

Kongsinya menerusi Instagram bersama pautan foto si suami yang sedang bertugas, Dayah menitip rasa syukur atas pengorbanan imamnya itu.

“Selamat Hari Pahlawan, satriaku. Meski mungkin ada yang tidak memahami, apatah lagi menghargai dan menghormati tugasanmu yang berbekalkan keringat dan darah, malahan nyawa yang dipertaruhkan, aku disini mendukung sosok pahlawan yang bernama suami, anugerah kebaikan dari Tuhan kepadaku.

“Berjuang atas nama cinta dan perjuangan hanya untuk yang terpilih sahaja.

“Dengan ini saya juga mengambil kesempatan ingin mengucapkan Selamat Hari Pahlawan kepada semua pasukan keselamatan negara yang bertugas, juga kepada mereka yang telah pergi dalam menjalankan amanah.

“Tidak dilupakan juga semua wanita-wanita kuat yang menjadi srikandi dalam mendukung moral, kebahagiaan kehormatan pahlawan-pahlawan negara,” tulisnya penuh makna.

Dayah dan Hanif mendirikan rumah tangga pada 29 Jun tahun lalu dalam sebuah majlis yang dirai penuh meriah di Kuala Lumpur.

Terdahulu media melaporkan, sambutan Hari Pahlawan Tahun 2019 peringkat Persekutuan akan diadakan pada September depan.

Majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat sempena sambutan itu akan diadakan pada jam 7.10 malam, 18 September di Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Sementara sesi Istiadat Perbarisan dijadualkan akan dilangsungkan pada jam 8.30 pagi, 19 September di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya dan khutbah khas dan solat Jumaat pada 20 September di Masjid Negara.

Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, perubahan tarikh penganjuran majlis itu daripada tarikh perisytiharan asal pada 31 Julai adalah bagi memberi laluan dan mengelakkan pertindihan dengan beberapa acara untuk Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong pada 30 Julai.

Foto: Instagram Dayah Bakar

Published by
Rafiq Mazlan