Selamat Pulang Ke Tanah Air, Liyana Jasmay Ambil Langkah Berjaga-Jaga – “Kami Akan Kuarantin Diri Selama 14 Hari.”

Share

Meluangkan masa bercuti bersama sahabat baik beberapa minggu bagi menjalani penggambaran di Australia, Liyana Jasmay dan Intan Ladyana dilaporkan selamat tiba di Malaysia awal pagi semalam.

Dalam masa sama, pelakon dan pengarah itu tetap mengambil langkah berjaga-jaga berhubung wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda negara masa kini.

“Kami sepatutnya kembali ke Malaysia pada 23 Mac, tetapi disebabkan kebimbangan terhadap koronavirus, kami membatalkan beberapa lokasi dan memendekkan masa penggambaran untuk pulang lebih awal.

“Masa ketibaan kami di Malaysia adalah pada awal pagi 18 Mac, sebaik sahaja bermulanya perintah kawalan pergerakan di negara kita.

“Kami akan kuarantin diri sendiri selama 14 hari seperti yang diarahkan untuk mengenal pasti jika ada gejala yang berlaku,” tulisnya. 

Dalam pada itu, Liyana turut memberi penghargaan kepada mereka yang terlibat dalam sektor perubatan dalam usaha mengawal dan merawat wabak COVID-19.

“Terima kasih kepada semua doktor, jururawat, dan mereka yang terlibat dalam usaha menangani pandemik ini, kami berjanji akan lakukan yang terbaik untuk membantu anda semua dengan hanya duduk di rumah sahaja,” tulisnya lagi.

Untuk rekod, jumlah kes COVID-19 di Malaysia telah mencecah 900 orang setakat ini.

Sementara 75 daripada jumlah tersebut telah sembuh sepenuhnya dan dikeluarkan dari hospital.

Rekod kematian di negara ini pula masih kekal dengan jumlah dua orang.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas Perintah Kawalan Pergerakan merayu agar rakyat Malaysia duduk di rumah selama 14 hari, bermula 18 hingga 31 Mac 2020.

Foto : Instagram Liyana Jasmay

Published by
MH