Hiburan

“Selebriti Hantar Anak Ke Sekolah Kebangsaan Bukan Satu Masalah,” – Nad Zainal

Share

Pelakon Nad Zainal berpendapat keputusan selebriti untuk menghantar anak ke sekolah kerajaan tidak seharusnya dipersoalkan, kerana institusi tersebut turut menawarkan kualiti pendidikan yang baik serta telah melahirkan ramai individu cemerlang.

Menurut Nad, latar belakang keluarganya sendiri menjadi bukti bahawa sekolah kerajaan mampu memberikan pendidikan berkualiti.

Sekolah Kerajaan Tetap Berkualiti

“Saya rasa tiada masalah pun kalau hantar anak ke sekolah kerajaan. Seluruh ahli keluarga saya pergi ke sekolah kerajaan. Suami saya pun punyai lulusan luar negara dan bermula daripada sekolah kerajaan.

“Jadi, saya tak nampak perkara ini sebagai satu masalah. Kita tak perlu memandang rendah kepada ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah kerajaan atau sekolah yang yurannya lebih murah berbanding sekolah swasta,” katanya kepada MH.

Nad berkongsi pandangannya ketika ditemui di acara Fipper x Bayu Somerset di KL East Mall, Kuala Lumpur, pada Rabu.

Kolaborasi antara dua jenama itu menyaksikan pelancaran selipar edisi khas sempena Hari Raya Aidilfitri, hadir dalam empat pilihan warna menarik iaitu Tropic Blooms, Flower Flip, Coral Rush, dan Tangerine Trails.

Pendidikan Bermula di Rumah

Nad menambah, pendidikan yang terbaik bermula dari rumah dan tidak sekadar bergantung kepada institusi sekolah semata-mata.

“Saya dan suami memang tegas dalam pendidikan anak-anak. Kami hadkan penggunaan gajet dan televisyen.

“Sekiranya mereka berjaya membuktikan sesuatu atau meraih pencapaian yang bagus di sekolah, barulah kita izinkan.

“Kalau ada yang kata sekolah mahal lebih bagus, pada saya itu tidak betul. Kita kena didik sejak di rumah. Kalau bayar sekolah mahal-mahal tapi di rumah dan di sekolah tetap dimanjakan, memang tak jadi apa-apa,” ujarnya lagi.

Keputusan Berdasarkan Kemampuan

Dalam masa sama, Nad turut menegaskan dia tidak mahu pelajaran anak-anaknya terganggu disebabkan bebanan kewangan yang tinggi untuk sekolah swasta.

“Saya ini hanyalah pelakon biasa. Ada pasang dan surutnya. Kalau selamanya kita nak hantar anak ke sekolah swasta tapi di kemudian hari kita tak mampu, pelajaran anak akan tersekat.

“Apa yang saya buat ini adalah di atas kemampuan dan saya masih melihat sekolah kebangsaan kekal relevan.

“Ramai produk-produk daripada sekolah kebangsaan yang berjaya sambung belajar ke peringkat tertinggi dan menjadi golongan profesional yang hebat,” katanya lagi.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

Kredit Foto: Instagram Nad Zainal

Published by
Aizam Manaf