Selepas hampir 30 tahun terbabit dalam dunia seni, penyanyi kelahiran Singapura, Osem Han akhirnya tampil dengan single solo pertama berjudul Pilihanku hasil ciptaan Reyza Hamizan manakala lirik ditulis oleh Osem Han.
Meski perjalanan seni Osem boleh dikatakan agak lambat, namun jejaka berusia 40 tahun ini tidak pernah memandang perkara itu sebagai penghalang untuk terus mencuba nasib dalam bidang nyanyian.
Kata Osem, sebelum ini percubaan dalam bidang muzik agak mencabar, tambahan dia perlu memberi perhatian terhadap kedai gunting rambut yang diusahakannya di Singapura iaitu Osem Handsome.
“Dulu nak ‘survive’ dalam bidang muzik agak mencabar. Saya perlu mencari pendapatan yang boleh menampung kos hidup di Singapura. Disebabkan itu saya terpaksa melupakan kerjaya nyanyian buat sementara waktu dan mengambil keputusan membuka sebuah kedai gunting rambut.
“Barangkali ramai yang akan tertanya-tanya kenapa selepas 30 tahun saya nak kembali aktif dalam bidang ini dan jawapannya sudah tentu saya tiada masalah besar yang perlu saya tanggung sekarang.
“Saya sangat bersyukur dengan kehidupan yang saya nikmati hari ini dan kali ini saya ingin kejar semula impian yang sudah lama tertangguh,” katanya.
Bercerita mengenai lagu Pilihanku, Osem berkata, keistimewaan lagu terbabit adalah dia tampil dengan genre yang berbeza.
“Memandangkan ini adalah single solo yang pertama, Reyza mahu saya bereksperimentasi dan cuba membawakan genre yang berbeza.
Selain itu, Pilihanku juga dekat dengan jiwa setiap pendengar kerana lagu ini bercerita mengenai diri setiap individu yang mempunyai pelbagai pilihan dalam hidup,” katanya.Yakin dengan kemampuan lagu Pilihanku, Osem berharap percubaan untuk kembali aktif akan membuahkan hasil positif.
“Kalau kita semua dapat putar kembali waktu, sudah pasti kita nak mencipta kejayaan pada zaman muda tapi malangnya setiap daripada kita ada jalan hidup yang berbeza-beza.
“Mungkin kehidupan yang saya lalui ini tidak bernasib baik kerana saya tidak dapat peluang yang orang lain terima ketika itu, tapi saya tidak pernah berputus asa untuk terus perjuangkan minat dalam muzik,” katanya lagi.
Mengulas mengenai nama pentasnya pula, Osem berkata;
“Han ialah nama sebenar saya manakala Osem pula adalah nama bisnes gunting rambut yang usahakan sekarang ini.
“Disebabkan ramai kenalan lebih mengenali saya dengan nama Osem, jadi saya kekalkan saja nama itu. Lagipun nama Osem itu saya rasa unik dan sudah sebati dengan saya,” katanya.
Pilihanku sudah boleh dimuat turun di kesemua pelantar digital termasuk ditonton di YouTube Osem Records dan sehingga kini, ia sudah pun menerima lebih 352,000 tontonan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini