Penyanyi, Azmi Saat berkongsi khabar duka selepas memaklumkan anaknya, Afnan yang baharu sahaja lahir pada 27 September lalu telah meninggal dunia tengah hari tadi.
Perkhabaran itu dimaklumkan sendiri Azmi menerusi hantaran terkini yang dimuat naik di laman Instagram.
Menurut Azmi, meskipun ia merupakan satu dugaan yang berat namum, dia dan isteri reda dengan ketentuan Illahi.
“Allah lebih menyayanginya. Afnan tunggu kami di syurga ya,” tulis Azmi ringkas pada ruangan kapsyen.
Terdahulu itu, Azmi menerusi media sosial turut memuat naik hantaran memaklumkan dia dan isteri sempat mendakap anak sulungnya itu buat kali terakhir.
“Kami sedang riba Afnan buat kali yang terakhir. Beberapa minit sahaja lagi,” kongsinya lagi.
“Allahuakbar, Innalillahiwainnailaihirojiun. InsyaAllah Baby Afnan tunggu kalian di syurga. Moga Allah berikan kekuatan, kesabaran dan hikmah yang amat besar untuk kalian atas ujian ini. Sampaikan samlam kasih pada isteri ya.
“Innalillahiwainnailaihirojiun. Salam takziah Azmi dan isteri. Afanan anak syurga akan menantikan kehadiran kalian mak ayahnya di syurga nanti.
“Allahuakbar, anak syurga. InsyaAllah akan menanti kamu di sana. Bertabahlah dan yakin dengan rancangan Allah,” antara reaksi-reaksi netizen di laman Instagram.
Awal pagi tadi, vokalis Caliph Buskers itu ada memaklumkan mengenai status kesihatan anaknya.
“Mohon tolong doakan Afnan. Afnan tak sihat. Kami sedang diuji. Allah mudahkan urusan kami waktu proses mengandung tapi sekarang Allah nak uji kami.
“Allah mudahkan proses bersalin tapi sekarang Allah nak uji kami. Allah letakkan rasa teruja dalam hati kami tapi sekarang Allah nak uji kami. Itulah Allah pemilik sekalian alam. Dia yang maha merancang dan maha mengetahui segalanya.
“Mungkin ada antara kalian yang Allah makbulkan doanya. Tolong doakan moga Afnan sihat dan Allah berikan yang terbaik buat kami. Apa pun yang berlaku, kami redha dengan ketentuan takdirNya.
Amin Ya Rabbal Alamin,” kongsinya lagi.
Untuk rekod, isteri kepada Azmi, Naziah Muhammad telah pun selamat melahirkan cahaya mata pertamanya itu pada tanggal 27 September lalu.
Azmi dan Naziah yang juga merupakan pasangan cacat penglihatan atau orang kelainan upaya (OKU) ini telah pun mendirikan rumah tangga mereka pada 2011.
Sumber: Instagram Azmi Saat