“Selepas AJL, Ada 7 Orang Datang Mahu Memikat,” – Tolak Lelaki Boroi, Ada Netizen Samakan A.Aida Iras J-Lo

Share

Kemunculan pertamanya secara eksklusif di Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) baru-baru ini nyata membuka lembaran baru buat Datuk A.Aida.

Jelasnya, meski ramai yang mendoakan supaya dia kembali ke landasan, wanita ini memohon doa yang terbaik buatnya.

Lalu, kian ramai sebenarnya menghimpit, namun dia tetap dengan pendirian, selesa hidup dengan status solo ketika ini.

Walau bagaimanapun, jelasnya kepada media, tujuh lelaki datang memikat sejurus selepas ‘pengumumannya’ untuk tidak lagi berhijab. Namun, semuanya ditolak dengan hemah.

“Selepas AJL hari itu, ada tujuh orang yang datang mahu memikat tetapi saya tolak. Jika mahu berdampingan dengan saya, perlu ada six pack dan sado. Kalau boroi, pergi jauh-jauh,” katanya seloroh.

“Saya belum lagi bertemu teman pengganti. Kalau boleh saya mahukan lelaki yang sasa, ada six pack. Sekarang saya gembira dengan status solo. Tetapi tidak tahulah jika satu hari nanti tuhan buka pintu hati saya,” tuturnya lagi.

Mengakui bukan satu keputusan yang mudah untuk tampil di hadapan umum dengan imej baru, malah seminggu dia buntu dan sukar tidur memikirkan apa yang terbaik.

“Selepas AJL, saya membuat keputusan untuk membuka tudung. Semua mahu yang terbaik, saya tahu berdosa membuka tudung tapi saya selesa.

“Dahulu saya memakai tudung kerana taat dengan suami. Apabila sudah bercerai, saya membuat keputusan membuka tudung ketika di Maldives akhir tahun lalu.

“Seminggu sebelum AJL saya sukar untuk tidur memikirkan keputusan yang harus dibuat. Risau dihentam masyarakat. Saya telefon sahabat baik dan meminta nasihatnya.

“Dia katakan teruskan menjadi diri sendiri. Kalau tidak memakai tudung, sudah tentu saya berdosa, namun jika hati belum terbuka, kita sama-sama berdoa,” ulasnya jujur.

Jelas penerbit popular ini lagi, bukan mudah juga untuk mendapatkan tubuh badan fit, lebih-lebih lagi pada usia 49 tahun, namun berkat usaha di gim dan menjaga pemakanan, dia berjaya redah halangan.

“Seminggu saya berkunjung ke gim tiga kali seminggu. Saya mahu tubuh badan yang sihat, ingat senang mahu dapatkan bentuk V-line pada bentuk wajah, tiga tahu saya berusaha dan baru kini menampakkan hasil.

“Semua memuji penampilan saya. Setiap pagi saya akan mengamalkan kolagen, sarang burung, plasenta dan pelbagai lagi. Sekarang sudah hampir lapan bulan tidak menyentuh nasi.

“Setiap hari saya akan makan 10 biji telur dan bahagikan dari pagi sehingga malam.

“Saya memang fit dan ada six pack sebab itu saya tidak mahu pasangan yang perut boroi.

“Ramai yang mengatakan wajah saya seiras Kilafary dan Tasha Shila, malah ada yang mengatakan seperti J-Lo,” katanya ketawa.

Dalam perkembangan lain, A.Aida Production telah mengambil inisiatif menghasilkan sebuah filem berjudul Ratu Kala Jengking : Puteri Keranda yang diinspirasikan daripada kisah lagenda tempatan.

Filem arahan Bade Hj Azmi itu bakal ditayangkan di pawagam bermula 27 Februari dan dibintangi barisan pelakon hebat antaranya Nadia Brian, Mas Khan, Datuk Fizz Fairuz, Eyra Hazali, Oktovia Manrose, Amar Asyraf dan ramai lagi.

Published by
Noraini Abd Wahab