Berita

“Selepas GV9, Saya Tidaklah Berdiam Diri Sahaja,” – Selepas 21 Tahun, Akhirnya Hazrul Nizam Lancar Lagu Solo Baru

Share

 Penyanyi Hazrul Nizam akhirnya tampil dengan single baharu selepas kali terakhir melancarkan lagu kira-kira 21 tahun lalu, menerusi Kaulah Segalanya.

Single berjudul Rawan yang ditulis dan digubah oleh Amylea Azizan itu tentunya menjadi pengubat rindu peminat yang sekian lama menantikan buah tangan baharu daripadanya.

Sudah pun dilancarkan di semua platform penstriman muzik termasuk YouTube sejak 13 Oktober lalu, Rawan menerima maklum balas positif pendengar.

“Alhamdulillah penerimaan sangat memberangsangkan. Ramai yang suka lagu ini dan syukur ia turut terpilih menjadi runut bunyi (OST) bagi drama Satu Hari Nanti yang dibintangi Bella Astillah dan Ezaidi Aziz terbitan Mache All Star United,” katanya.

Bekas peserta Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9) asal Singapura ini turut mengulas mengenai muzik video Rawan.

“Saya bersyukur kerana pelakon legenda dan handalan sudi bekerjasama. Antara yang terlibat ialah Beto Kusyairy, Nabila Huda dan Datuk Rahim Razali.

“Ia diarahkan oleh Bobby Husaini dan diterbitkan oleh HMA Entertainment.

“Menerusi muzik video ini, saya nak menceritakan sebuah situasi yang menggambarakan kehilangan diri kerana kalau cerita pasal cinta, macam sudah banyak lagu sebegitu.

“Jadi mahu buat kelainan dan Ahamdulillah apabila saya berkongsi idea ini, pengarah turut tambah baik idea berkenaan lalu terciptalah muzik video ini,” katanya lagi.

Rawan menceritakan mengenai kehilangan yang boleh ditafsirkan dalam pelbagai maksud.
“Rumusan lagu Rawan ini menceritakan soal perasan pilu bercampur sedih. Seperti kehilangan, tidak kisahlah sama ada kehilangan orang tercinta, atau kucing kesayangan ataupun ‘kehilangan’ diri sendiri.

Hazrul turu menambah, dia masih menerima undangan untuk menjayakan persembahan, namun terpaksa menolak beberapa tawaran di Malaysia.  berikutan tiada permit daripada Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL).

“Selepas GV9, saya balik ke Singapura untuk uruskan kerja hartanah saya. Banyak juga undangan di Singapura dan di Malaysia juga. Tapi kerana saya tiada permit PUSPAL, banyak yang terpaksa saya tolak.

“Lagu solo ni mengambil masa agak lama kerana selepas GV9, saya ada lancarkan lagu duet bersama penyanyi Singapura, Diana Nazyra berjudul Sejuta Kata.

“Selepas itu, bergabung pula dengan kawan baik saya di GV9 iaitu Dina Nadzir dengan lagu Berat Hati.

“Jadi saya tunda lancarkan lagu Rawan ini. Jadi sudah tentu saya rasa teruja terhadap lagu ini. Kiranya selepas GV9, saya tidaklah berdiam diri sahaja. Masih berkarya dan akan terus berkarya,” katanya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
MH