Suami kepada pelakon Sheera Iskandar iaitu Mohd Halim Abdul Gani, mendedahkan dia mula berkenalan dengan isterinya itu dengan menghantar mesej di Instagram sebagai kapasiti seorang peminat.
Menyingkap awal perkenalan mereka, Halim, 34, memetik Wacana mengakui, dia memberanikan untuk memulakan langkah pertama sebaik pertama kali bertentang mata di balai polis tempatnya bertugas di Labuan, Sabah.
“Gara-gara diejek oleh rakan-rakan kerana watak Halimah Jonggang kerana ia bersangkut paut dengan nama saya, perkara itu secara langsung menjadikan saya ingin tahu mengenai drama terbabit.
“Lama-kelamaan saya tersangkut pula dengan drama itu selepas teraju utamanya berubah wajah. Selepas drama itu, kebetulan saya menonton drama Si Capik yang turut menampilkan Sheera.
“Jadi dalam hati saya simpan impian, jika dapat berjumpa dengan Sheera suatu hari nanti, pastinya saya tidak melepaskan peluang itu,” katanya.
Pasangan ini selamat diijabkabulkan pada kira-kira pukul 6 petang Isnin lalu dalam majlis serba sederhana yang berlangsung di Magica Events Hall, Quill City, Kuala Lumpur.
Halim pada masa sama turut menambah, dia bersyukur kerana proses perkenalan itu dipermudahkan.
“Sudah lama sebenarnya saya mencari jodoh, cuma belum dipertemukan dengan yang insan istimewa itu. Alhamdulillah… pada saat bertentang mata dengan Sheera, segala urusan dipermudahkan.
“Selama 11 tahun saya berkhidmat di Labuan, jadi saya memohon untuk pulang kerana ingin mendirikan rumah tangga. Permohononan saya terus diluluskan dan kini berkhidmat di Kajang, Selangor,” katanya.
Sementara itu, Sheera atau nama sebenarnya, Tengku Shahira Ilani Tengku Iskandar, 36, pula menjelaskan, dia pada mulanya hanya melayan mesej yang dihantar suami dan menganggap dia meminati drama bersiri, Gerak Khas.
Sheera yang juga anak kepada pelakon veteran Aznah Hamid pernah berkahwin dengan Abdullah Harun, 36, pada Ogos 2015, dan bercerai pada hujung 2018.
Penerbit drama Gerak Khas, Datuk Yusof Haslam dan isteri Datin Fatimah Ismail serta pelakon, Abby Abadi dan Salina Saibi turut hadir meraikan pasangan raja sehari.