“Selepas SPM, Saya Teringin Nak Buka Kolam Ikan Talapia Di Hulu Langat,” – Haqiem Rusli

Share

Selain berkebolehan menyanyi dan mencipta lagu, Haqiem Rusli memasang impian untuk membuka sebuah kolam ikan talapia.

Katanya, hasrat tersebut telah lama diimpikan selepas tamat pengajian sekolah menengah. 

“Selepas SPM, saya teringin nak buka kolam ikan talapia di Hulu Langat, Selangor. Ini juga merupakan satu impian dan minat saya dalam memancing, selain bidang muzik. 

“Malah, perkara ini juga dapat membantu saya di masa hadapan kelak.

Mungkin satu hari nanti, saya akan buka perniagaan ikan talapia, kita tak tahu rezeki masing-masing,” katanya kepada MH.

Haqiem Rusli ditemui pada majlis pelantikannya sebagai Ikon Selebriti Jelajah Agroprenuer Muda 2020 (JAM 2020) yang diadakan di Wisma Tani, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Presint 4, Putrajaya baru-baru ini. 

Menurut pemilik nama penuh Ridzuan Haqiem Rusli ini juga, minat tersebut diinsiprasikan dari ahli keluarganya yang lebih memfokuskan ke arah bidang tersebut. 

Saya lahir dan membesar di Hulu Langat, jadi kehidupan saya lebih kepada bidang pertanian, sekali gus ia menjadi minat dan hobi saya.

“Malah, keluarga dan saudara juga terlibat sama dalam bidang ini. 

Jadi, dengan wujudnya program sebegini (JAM 2020) dan saya pula dilantik sebagai ikon selebriti, ia merupakan satu platform yang terbaik bagi saya agar impian saya menjadi kenyataan untuk membuka kolam ikan talapia ,” kongsi Haqiem yang popular dengan lagu Lembah Kesepian.

 

Dalam perkembangan lain, Haqiem dan Baby Shima dipilih sebagai ikon selebriti bagi Jelajah Agroprenuer Muda 2020 (JAM 2020) bagi golongan muda untuk menceburi bidang pertanian dan industri makanan. 

Program tersebut akan dilaksanakan di setiap negeri bermula 13 hingga 15 Mac ini dan 2 hingga 4 April depan.

Published by
Amynur Akmal