Berita

Selepas Telefon Pintar, Beg Tangan Dipercayai Milik Allahyarham Nur Farah Kartini Pula Dijumpai

Share

Beg tangan wanita dipercayai milik Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah ditemui ketika operasi pencarian bahan bukti dilakukan, di Sungai Trolak Kampung Batu, Perak, pada Khamis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi mengesahkan berhubung penemuan bahan bukti itu.

“Ya. Beg wanita dipercayai kepunyaan mangsa,” katanya ketika dihubungi.

Media sebelum ini melaporkan operasi pencarian baki bahan bukti kes pembunuhan Nur Farah Kartini diteruskan di sebuah lagi lokasi kira-kira 20 minit dari Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor.

Hussein berkata, operasi tersebut bagi mencari bahan bukti dipercayai barangan peribadi milik mangsa.

Pada hari sama, Hussein turut mengesahkan pihaknya menemukan telefon pintar dipercayai milik mangsa yang dibuang di dalam parit di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang di sini.

Isnin lalu, mayat Nur Farah Kartini ditemukan di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira jam 6 petang.

Susulan itu, suspek lelaki berusia 26 tahun yang juga bekerja sebagai anggota polis ditahan pada hari yang sama.

Suspek kemudian direman tujuh hari sehingga 22 Julai depan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Sumber: Harian Metro

Published by
MH