Berita

“Semalam Suaranya Makin Sayup…,” – Jaclyn Victor Alami Laryngitis, Pengurus Maklum ‘Hilang’ Suara Sejak Minggu Lalu

Share

Penyanyi Jaclyn Victor tidak dapat memberikan jawapan sama ada dia akan meneruskan perjuangan membuat persembahan dalam saingan minggu ke-9 All Stars Gegar Vaganza (ASGV), Ahad depan.

Ia susulan penyanyi berusia 45 itu mengalami masalah Laryngitis sehingga menyebabkan kehilangan suara dan sukar untuk bercakap.

Pengurus Jaclyn, yang dikenali sebagai Zulaikha menjelaskan, penyanyi itu mulai berdepan masalah tersebut pada bahagian tekak sejak Selasa minggu lalu.

Namun dia masih meneruskan persembahan di minggu kelapan pentas All Stars Gegar Vaganza Ahad lalu.

Bagaimanapun, masalah tersebut tidak berkurangan sehingga dia sukar bercakap pada awal pagi Rabu.

“Tekak dia (Jaclyn) sudah mula sakit sejak Selasa minggu lepas. Dia sudah berjumpa doktor dan masih cuba juga teruskan persembahan.

“Semalam (Isnin) suaranya semakin sayup dan dia hubungi saya lalu beritahu memang tidak boleh bercakap,” kata pengurusnya itu.

Penyanyi lagu Gemilang itu ditemui media secara kebetulan di sebuah hotel di Kuala Lumpur, petang tadi.

Malah ketika pertemuan itu, dia hanya menulis teks yang pada telefon bimbitnya lalu ditunjukkan kepada rakan media untuk berkongsi apa yang berlaku.

Dalam pada itu, Zulaikha menambah doktor juga mencadangkan agar Jaclyn berehat sehingga suaranya betul-betul pulih dan tidak dapat dijangka tempohnya untuk baik.

“Kalau ikut cakap doktor memang dia tak boleh menyanyi dan perlu rehat. Sampai bila, kita pun tidak tahu.

“Minggu ini pun Jac ada dua persembahan. Tak tahu lagi apa yang akan jadi. Kita tunggu sahaja. Mungkin akan dapatkan suntikan,” katanya lagi yang menyifatkan masalah tersebut mungkin disebabkan Jac kurang berehat sejak menyertai ASGV.

Dalam masa sama Jac tetap terus bersemangat untuk menyampaikan lagu All I Ask untuk minggu kesembilan ASGV Ahad ini.

“Setakat ini persembahan kena teruskan. Apa berlaku nanti kita tunggu. Tak mungkin Jac tarik diri. Jac pun memang kurang rehat. Setiap kali sebelum naik pentas di selalu berdebar,” jelasnya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH