Pelakon dan pengacara, Ummi Nazeera baru sahaja melahirkan cahaya mata pertama hasil perkahwinannya dengan Dr. Mohd Izzar Anwari Mohd Khani, sekitar tiga bulan lalu.
Menerusi Majalah Mingguan Wanita edisi terbaru, bintang berusia 28 tahun itu merakam kembali detik selepas beberapa ketika malahirkan Ayra Aneesah.
Kongsi Ummi, disebabkan anaknya itu dilahirkan melalui pembedahan, pertemuan pertama keduanya hanya berlaku sekelip mata.
“Pertama kali saya berjumpa Ayra adalah di bilik bersalin. Saya menjalani pembedahan untuk melahirkan Ayra. Semasa Ayra keluar, saya tidak mendengar bayi menangis. Selepas itu, salah seorang daripada doktor bius berbisik pada saya. Dia tanya adakah saya mendengar bayi menangis. Itu anak saya.
“Ketika saya melihat wajah Ayra, saya masih dalam keadaan bius. Saya rasa syukur melihat anak selamat walaupun dilahirkan pramatang sewaktu 34 minggu. Hanya keesokan harinya barulah saya berjumpa dengan Ayra di wad NICU.
“Selama seminggu Ayra di NICU. Ayra tidak ada apa-apa masalah. Dia boleh bernafas dengan sendiri dan tidak menggunakan tabung oksigen. Beratnya pun okay, lebih kurang 2.3 kilogram.
“Kami mengambil masa lama di hospital kerana saya perlu berlatih untuk menyusu badan. Selepas berjaya dan mampu melakukan penyusuan yang betul, barulah Ayra dibenarkan balik ke rumah,” jelas Ummi seperti yang dipetik.
Kini, pasangan suami isteri itu cukup gembira dan teruja untuk menyaksikan puteri sulung membesar di depan mata.
“Sekarang ini saya suka melihat perkembangan Ayra. Saya juga banyak membaca berkaitan perkembangan bayi mengikut usia mereka. Ditambah pula suami yang juga seorang doktor rajin mencari maklumat berkaitan apa yang dilakukan oleh bayi setiap bulan.
“Daripada pemerhatian saya, Ayra ketika berusia dua bulan sudah boleh membuat ‘eye contact’. Kadang-kadang apabila ayahnya main suara, dia juga boleh ikut bunyi suara itu,” kongsi Ummi Nazeera perihal Ayra.
Jangan lupa untuk membaca temu bual penuhnya menerusi Majalah Mingguan Wanita.
Foto/Sumber: Instagram Ummi Nazeera/Mingguan Wanita