Konsert ‘Journey’ Awie yang akan berlangsung pada 3 Ogos depan bakal menjadi pentas terakhir buat penyanyi dan pelakon Datuk Awie untuk beraksi sebagai penyanyi solo.
Menurut Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, keputusan tersebut dibuat bagi mengurangkan beban komitmen sebagai anak seni dan memberikan lebih tumpuan terhadap keluarga.
“Saya kehilangan banyak masa bersama keluarga. Kadang kala bila anak saya ada majlis konvokesyen atau terima anugerah, saya tak dapat datang.
“Anak-anak kecil saya ada aktiviti keluarga di tadika, saya tak dapat hadir. Isteri saya sahaja yang datang dan saya terpaksa bekerja. Anak sakit demam pun saya masih di luar jalani penggambaran.
“Jadi, saya mula terfikir, kenapa saya nak jadi tamak sangat? Sedangkan saya masih boleh meneruskan kehidupan walaupun hanya dengan Wings.
“Bila berakhirnya konsert solo ini, kuranglah sikit komitmen saya. Kini saya boleh fokus pada keluarga, Wings dan lakonan sahaja,” katanya kepada MH.
Vokalis kumpulan Wings itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media Konsert ‘Journey’ Awie yang berlangsung di Maristar, Kuala Lumpur pada Khamis.
Katanya lagi, meskipun anak-anak faham dengan kerjayanya sebagai anak seni, namun, dia kini sedar bahawa waktu bersama keluarga sangat berharga.
“Alhamdulillah, anak-anak tidak akan merungut di hadapan saya. Mungkin dia akan bercakap dengan ibu mereka. Saya yang terasa sendiri sebenarnya.
“Kadang-kadang, saya melihat kawan-kawan membawa anak-anak ke sana ke sini, saya tertanya kenapa saya tidak macam itu?
“Jadi, saya kena berubah. Sementara Allah masih berikan saya kesihatan walaupun banyak nikmat yang telah ditarik, baik saya buat sesuatu sebelum saya sakit teruk dan tak boleh buat apa yang mereka mahukan,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Awie akui banyak perkara yang harus dikorbankan untuk bergelar anak seni.
“Sebagai penghibur, walau apapun yang terjadi, kita tetap perlu naik ke pentas, terpaksa senyum dan hiburkan orang. Tapi hati dan perasaan kita, siapa yang hiburkan?
“Ini adalah perkara yang orang tak pernah ambil tahu. Tiada yang nak kupas hati dan perasaan seorang penyanyi. Kalau mereka sedang bersedih, macam mana mereka nak menghiburkan orang.
“Waktu saya disantau, mengalami masalah buah pinggang dan kaki bengkak, saya masih senyum di atas pentas. Orang tak tahu saya sakit tapi itulah pengorbanannya,” akhirinya.
Konsert ‘Journey’ Awie bakal berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur dan tiket sudah pun mula dijual.
Awie merupakan artis tempatan pertama yang dipilih sebagai rakan Maybank bagi konsert ini.
Pemegang kad Maybank akan menikmati potongan harga 10% untuk semua pembelian tiket menggunakan kad Maybank.
Selain itu, pembeli tiket juga boleh membuat pembayaran sebanyak 50% terlebih dahulu dan melunaskan baki selebihnya seminggu sebelum konsert bermula.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.