“Semoga Amir Menjadi ‘Amirul Mukminin…,” – Anak Cecah Usia Setahun, Indah Nukilan Suami Mira Filzah

Share

Suami kepada pelakon, Mira Filzah, Wan Emir Astar menitipkan ucapan menyentuh jiwa bersempena ulang tahun kelahiran anaknya, Wan Khair Amir yang kini sudah menginjak usia setahun.

Menurut Emir, kehadiran anaknya itu sememangnya menjadi penyeri buat kehidupan mereka.

“Putera pada papa dan mama, Wan Khair Amir, setiap kali papa dan mama menatap riak wajah gelak ketawamu, kelicikan dan kelajuan gerak permainanmu, tangisan sedih dan manja yang membasahi pipimu, dan senyuman seindah almarhum Atok papamu, hanya ‘syukur alhamdulillah’ terzahir dibibir kami.

“Kerana segalanya mengenai dirimu, adalah atas kuasa dan kehendak-Nya.
Terlalu banyak pengalaman dan cerita yang tak termampu papa dan mama berkongsi di sini, mengenai perjalanan papa dan mama untuk membawa Amir ke hari ini,” tulisnya.

Luahan tersebut dikongsikan sendiri oleh Emir menerusi sebuah hantaran di laman Instagram.

Dalam pada itu, bapa berusia 33 tahun ini juga turut merakamkan ucapan penghargaan buat semua pihak yang sama-sama membantu membesarkan anaknya itu sehingga hari ini.

“Mama khususnya, banyak pengorbanan yang papa sendiri menjadi saksi. Setiap saat memori pengalaman terpahat di minda dan jiwa papa dan mama buat selamanya.

“Dan banyak lagi pengalaman yang bakal kita lalui bersama di dunia ini wahai Putera papa dan mama. Moga kita sekeluarga sentiasa dibimbing-Nya.

“Papa dan mama sentiasa mendoakan agar kebaikan dan rahmat-Nya sentiasa memayungi Amir. Moga Amir menjadi ‘Amirul Mukminin’ yang sering disebut oleh GrandMa @faeezahisan.

“Moga Amir ‘love Atuk’ seperti yang diharapkan oleh Atuk @badio64 dan ingat pada pesanan Nura @masturayazid ‘to be truly happy and the sky is the limits’,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Emir turut mengingatkan anaknya itu untuk sentiasa menyayangi dan berbakti semula kepada orang-orang di sekelilingnya.

“Amir jangan lupa untuk berterima kasih dan berbakti semula pada semua yang mengasihi Amir dari jauh dan mendoakan keselamatan, dan kebahagiaan Amir di dunia dan di akhirat.

“Selamat ulangtahun kelahiran yang pertama. Putera Wan Khair Amir Syukur Alhamdulillah. Papa dan mama sayang sayangg sayanggg Amir,” akhirinya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen tersentuh membaca nukilan tersebut selain turut mendoakan semoga Emir membesar menjadi anak yang soleh dan penyejuk hati ibu dan ayah.

Sekadar informasi, Emir telah mendirikan rumah tangga bersama Mira pada tanggal 3 September 2020.

Sementara itu, permata hati mereka, Wan Khair Amir dilahirkan pada 10 Mei tahun lalu.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Instagram Wan Emir Astar

 

Published by
Aizam Manaf