Pelawak dan usahawan Shuib ada menitipkan pesanan berkaitan pasangan pempengaruh yang kini ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan dana derma awam.
Menerusi hantaran di Instagram Stories, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad berharap agar segala isu melibatkan pempengaruh berkenaan akan dipermudah.
“Semoga dipermudah urusan,” tulisnya ringkas.
Lantaran itu, bekas anggota kumpulan lawak Sepahtu ini memohon jasa baik semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi dan membiar perkara ini diselesaikan oleh pihak mahkamah.
“Biar pihak berwajib yang jalankan kerja. Kita doakan yang baik-baik sahaja,” kongsinya lagi.
Memetik laporan Kosmo, perintah reman selama empat hari sehingga Ahad itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Peguam Abd. Rahim Ali yang mewakili pasangan suami isteri itu ketika ditanya berhubung penyelewengan kutipan derma, beliau menafikan perkara tersebut.
“Kalau tanya saya tidak samalah…lainlah, dua anak guam saya ditahan bukan membabitkan penyelewengan kutipan bantuan, sebaliknya kes salah guna kuasa mengikut Seksyen 23(1) akta itu.
“Oleh itu, kami membuat bantahan, sebab tak kena dengan Seksyen yang dipohon oleh SPRM, hakikatnya mereka bukan seorang penjawat awam,” katanya seperti yang dipetik.
Pasangan itu dan dua lagi lelaki yang turut direman kemudian keluar dari mahkamah pada pukul 12.45 tengahari.
Terdahulu, suspek lelaki memaklumkan, dia berada dalam keadaan sihat semasa dibawa anggota SPRM untuk ke tandas.
“Alhamdulillah, saya dalam keadaan sihat…mohon doa yang baik-baik,” katanya.
Semalam media melaporkan sepasang suami isteri yang juga pempengaruh ditahan SPRM pukul 6.40 petang.
Sebelum ini pempengaruh terbabit menerusi peguamnya menafikan semua dakwaan berkaitan penyelewengan dan pecah amanah membabitkan dirinya seperti yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini.
Pasangan suami isteri itu turut menegaskan dia dan suaminya tidak pernah menggunakan wang tersebut untuk tujuan peribadi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Sumber & Kredit Foto: Instagram Shuib & Kosmo Online
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI