Isteri kepada kepada pelawak, arwah Abam, Nor Hidayah Mohd menzahirkan rasa syukur selepas keputusan rayuan Mahkamah Seksyen membabitkan adik iparnya, Ali Puteh berhubung kes fitnah dalam laman sosial Instagram (IG) dua tahun telah pun memihak kepadanya.
Lantaran itu, Hidayah berharap agar pihak Ali dapat menyegerakan segala urusan pembayaran seperti yang telah diperintahkan.
“Alhamdulillah syukur pada Allah, keputusan rayuan mahkamah telah diputuskan, juga telah memihak kepada Hidayah.
“Semoga pihak disana tidak melengah- lengahkan lagi segala urusan pembayaran mengikut perintah mahkamah yang telah ditetapkan,” tulisnya.
Luahan tersebut dikongsikan sendiri oleh ibu kepada seorang cahaya mata itu menerusi sebuah hantaran di laman Instagram pada Rabu.
Pada masa sama, Hidayah turut merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang telah menunjukkan sokongan terhadap keluarganya selama ini.
“Semoga Dayah dan Hamzah boleh meneruskan kehidupan yg lebih baik dan sempurna selepas ini. Aamin. Terima kasih semua yang mendoakan Hidayah dan Hamzah,” kongsinya lagi.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut tumpang gembira selain turut mendoakan semoga urusan Hidayah dan anaknya akan sentiasa dipermudahkan.
“Alhamdulillah, syukur Dayah. Rezeki Hamzah.
“Syukur Alhamdulilah. Pengajaran untuk kita semua.
“Alhamdulillah, sabar itu indah.
“Alhamdulillah, dari dulu tunggu happy ending begini untuk puan dan Hamzah,” antara komen-komen netizen di Instagram.
Terdahulu, rayuan Ali atau nama sebenarnya, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 34, untuk mengetepikan keputusan mahkamah yang memerintahkannya membayar ganti rugi berjumlah RM60,000 kepada kakak iparnya itu ditolak Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh pada 28 Disember lalu.
Kemelut antara Siti Nor Hidayah dan keluarga Ali tercetus selepas pemergian Allahyarham Abam atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 32, yang meninggal dunia pada 10 Februari 2020 akibat demam panas.
Pada Mei 2020, Siti Nor Hidayah menyaman Ali berhubung kenyataan dibuat pelawak itu menerusi akaun IG. Antara lain menggambarkan wanita itu seorang isteri yang jahat dan tamak harta pusaka suaminya.
Ali dan tiga ahli keluarganya juga memfailkan saman terhadap Aliff Syukri dan Siti Nor Hidayah atas dakwaan berkonspirasi dengan niat menjatuhkan maruah dan mengaibkan dengan menerbitkan serta memuat naik video temubual yang disiarkan secara langsung dalam akaun YouTube usahawan kosmetik itu.
Pada 18 Februari 2022, Hakim Mahkamah Sesyen Zulqarnain Hassan membenarkan tuntutan saman Siti Nor Hidayah selepas berpendapat hantaran Syed Ali dalam akaun Instagramnya pada 10 Feb 2020 menjatuhkan maruah dan mengaibkan kakak iparnya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Sumber & Kredit Foto: Instagram Nor Hidayah