Pengasas kosmetik sensasi, Sajat yang baru sahaja mengadakan majlis doa selamat bersempena dengan ulang tahun kelahirannya yang ke-34 tahun pada Khamis merancang untuk merealisasikan hasrat kedua orang tuanya untuk menunaikan umrah tidak lama lagi.
Kata Sajat kepada MH, dia merancang untuk membawa ibu bapanya itu ke tanah suci selepas sambutan Aidilfitri nanti.
“Majlis doa selamat ini dilakukan beberapa hari lebih awal memandangkan sebelum ini pun kami sentiasa mengadakan majlis seumpamanya. Jadi secara kebetulan, saya teruskan majlis bersempena dengan ulang tahun kelahiran.
“Saya mengharapkan agar tahun ini akan lebih sukses dalam apa sahaja yang dilakukan, dimurahkan rezeki dan insyaAllah saya akan tunaikan hasrat ibu apa untuk tunai umrah selepas raya nanti. Doa-doakan agar semuanya dipermudahkan,” terang Sajat.
Ditanya apakah hasrat tersebut sudah pun disimpan sejak sekian lama, penyanyi lagu Bobo Di Mana ini menjelaskan, niat murni itu sebenarnya dipendam sejak beberapa tahun lalu, iaitu ketika awal penglibatannya dalam perniagaan.
“Memang sudah lama iaitu sejak saya menceburi dalam dunia perniagaan lagi. Bagaimanapun, tahun ini menjadi tahun terbaik memandangkan semuanya sudah pun stabil.
“Doakan agar niat saya buat mereka tercapai,” kongsi Sajat yang turut mahu mengembangkan perniagaan berasaskan dandanan rambut selepas ini.