“Semua Benda Kena Buat Sendiri,” – ‘Shooting’ Drama Secara Atas Talian, Zain Hamid Tak Anggap Penghalang

Share

Umum mengetahui, syarikat produksi drama dan filem tempatan tidak dapat menjalankan penggambaran seperti sedia kala ekoran situasi pandemik Covid-19 yang melanda di seluruh negara.

Sebagai langkah alternatif, ada sesetengah pihak produksi yang menjalankan penggambaran dalam norma baharu, misalnya dengan mengunakan teknologi gajet terkini.

Atas hal berkaitan, pelakon dan penyanyi, Zain Hamid turut sama menimba pengalaman baru apabila terpaksa menjalani penggambaran drama rantaian, SMK musim ketiga secara virtual.

Drama tersebut telah dijalankan secara virtual menerusi aplikasi Zoom, bulan lalu.

Kongsi Zain, dia sudah membuat persediaan lebih awal sebelum menjalani penggambaran drama tersebut agar prosesnya berjalan dengan lancar.

“Untuk menjalani pengambaran drama secara maya adalah satu cabaran baru bagi saya sebagai saya sebab saya tak pernah ada pengalaman seperti ini sebelum ini.

“Ini merupakan kali pertama dan saya rasa ia sangat mencabar oleh itu saya membuat persediaan lebih awal sebelum pengambaran dijalankan, tambahan pula pengambaran secara maya ini boleh kata semua benda kita kena buat sendiri,” katanya.

Dia turut menambah, pihak produksi ada menyediakan peralatan bagi tujuan tersebut.

“Dari segi barang peralatan untuk rakaman pihak produksi telah menyediakan kepada semua barisan pelakon, namun untuk memasang kesemua peralatan tersebut terpaksa dilakukan seorang sendiri.

“Meski ada cabaran saya tak anggap ini sebagai penghalang untuk diri saya,” katanya lagi.

Untuk info, SMK musim ketiga ini menelusuri pengalaman para pelajar yang menjalani pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Drama ini dibintangi barisan pelakon kanak-kanak seperti Mia Sara Nasuha, Rykarl Iskandar, Wafiy Ilhan dan ramai lagi.

Selain Zain Hamid, pelakon Emelda Rosemila, Nabila Razali, Nasz Sally dan Nizam Jentik-Jentik turut terlibat dalam drama bersiri yang bakal mula bersiaran mulai 25 Ogos, setiap Rabu, jam 9 malam di saluran Astro Ceria HD, On Demand dan Astro GO itu.

Published by
Nazar Rafiqhi