Pelawak, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan atau Ali Puteh menzahirkan rasa syukur susulan keputusan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, berkenaan faraid yang difailkan balu Allahyarham Abam Bocey, Siti Norhidayah Ali pada 15 Julai lalu, hari ini.
Ali menerusi laporan Harian Metro, perkara itu perlu dibuat mengikut hukum syarak sama seperti yang pernah dinyatakan dalam dua siri video yang dimuat naik sebelum ini.
Malah, pihaknya tidak pernah cuba menyekat harta peninggalan Allahyarham seperti didakwa segelintir pihak.
“Orang cakap saya nak halang harta arwah. Ya Allah Ya Tuhanku, kalau tengok sidang media saya yang awal dulu dan video terbaru, saya cakap sama saja.
“Kalau ikut hukum Islam memang itulah sebaiknya dan lebih bagus. Benda itu memang perlu difaraidkan kalau ikut hukum Islam. Syukur perkara ini sudah selesai.
“Memang itu yang terbaik. Apabila jadi begini orang anggap saya yang salah,” katanya seperti yang dipetik.
Ditanya mengenai status rumah peninggalan Allahyarham, Ali tegas menyatakan ia turut termasuk dalam faraid.
Terdahulu, balu arwah Abam, Hidayah berpuas hati dengan dengan keputusan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam mengenai tuntutan faraid yang difailkan pada prosiding yang berlangsung, pada Khamis.
Mahkamah turut menetapkan pembahagian berdasarkan hukum syarak membabitkan rumah, kereta, wang ringgit, barang peribadi seperti jam tangan, kasut, telefon bimbit, kamera dan barangan lain peninggalan Allahyarham.
Sementara itu, peguam mewakili Ali, Noorazmir Zakaria dari Tetuan Akram Hizri Azad & Azmir berkata, anak guam dan keluarganya tidak pernah rebutkan harta Allahyarham.
“Keputusan mahkamah tadi adalah pengisytiharan faraid siapa yang berhak. Jadi, dalam kes ini yang terbabit adalah balu, anak dan ibu bapa arwah.
“Dari awal lagi, permohonan yang difailkan balu tidak ada masalah dan tak perlu dipertikaikan. Malah, apabila saya terangkan kepada keluarga Ali, mereka tak pertikaikan. Ibu bapa arwah faham bahagian mereka.
“Cuma, selepas ini kami akan membuat permohonan surat kuasa tadbir untuk membahagikan harta peninggalan arwah dan dibahagikan menurut hukum faraid.
“Kita juga dalam proses untuk selesaikan pembahagian harta secara baik. Balu arwah akan dimasukkan kerana dia berhak selaku penjaga sah anak yang masih bawah umur,” katanya.
Ditanya mengenai status kereta jenis Toyota Vellfire milik Allahyarham, Noorazmir mengesahkan kereta itu sudah dilelong bank pada 19 Ogos lalu.
“Apa yang saya maklum, kereta itu sudah dijual dan dilelong. Kereta itu atas nama Allahyarham,” katanya lagi.
Sumber: Harian Metro
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI