“Semua Isu, Saya Dengar Sendiri Daripada Mereka,” – Datuk Seri Eizlan Yusof

Share

Tidak seperti calon-calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lain yang lebih gemar menyantuni masyarakat dengan kempen ceramah dan syarahan, pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof, 51, pula mengambil pendekatan sendiri yang disifatkan lebih ‘old school’.

Eizlan yang merupakan calon Parti GTA (Pejuang) bagi kerusi Parlimen Sabak Bernam menggunakan cara lebih mesra dan santai iaitu ‘lepak minum’ bagi mendengar sendiri permasalahan serta penambahbaikan yang diperlukan penduduk di situ.

“Sejak nama saya dicalonkan untuk bertanding di Parlimen Sabak Bernam, perkara pertama yang saya mahu lakukan adalah mengenali hati budi dan mendengar sendiri luahan masyarakat di sini.

“Tambahan pula saya tidak mahu menyusahkan masyarakat terutama pihak berkuasa tempatan yang saya faham bertungkus lumus memastikan proses berkempen sempena PRU15 di sini berjalan lancar.

“Saya akui, saya tak banyak masa untuk berkempen secara besar-besaran seperti mana calon-calon lain yang bertanding tapi saya ada pendekatan saya sendiri,” katanya.

Menurut Eizlan, pendekatan yang dilakukan sejak hampir seminggu berkampung di Sabak Bernam, mendedahkannya dengan isu dan permasalahan yang tidak pernah diketahui sebelum ini.

Antaranya isu jambatan menghubungkan Sungai Air Tawar dan Hutan Melintang, isu rangkaian internet, hasil pertanian serta isu anak muda.

“Semua isu itu saya dengar sendiri daripada mereka. Seolah-olah saya sudah bergelar YB Sabak Bernam.

“Saya orang yang bekerja, bukan ahli politik. Jika menang di sini, saya mahu bawa semua isu dan permasalahan diluahkan masyarakat Sabak Bernam ke peringkat Parlimen,” katanya lagi.

Eizlan bakal bertanding empat penjuru menentang calon PN, Kalam Sahlan, calon Pakatan Harapan (PH), Shamsul Ma’arif Ismail dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abd Rahman Bakri dalam PRU15 yang diadakan pada 19 November ini.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Juliana Johar