Selebriti Neelofa mengakui dia suami, Haris Ismail tidak pernah meletakkan sebarang sasaran jantina bayi sekiranya mereka dikurniakan zuriat selepas ini.
Menurut Neelofa, 32, soal jantina anak ialah ketentuan yang sudah diaturkan Allah SWT.
“Kalau ditanya kepada sayalah kan… misalnya dengan kawan-kawan yang sudah ada ada anak perempuan, impikan anak lelaki juga sebaliknya.
“Saya cakap, pada saya tidak kisah. Sebab semua itu rezeki dan susunan Allah,” katanya.
Bekas hos program MeleTop itu juga menjelaskan dia dan suami tidak terlalu memikirkan soal cahaya mata kerana baru sahaja mendirikan rumah tangga.
Bagaimanapun, dia tidak menafikan ahli keluarga juga mendoakan yang baik-baik.
“Bukan kami sahaja, saya rasa suami orang lain pun mesti excited dan keluarga saya pun mendoakan, menunggu-nunggu juga hal yang sama,” katanya.
Pemenang Dewi Remaja 2020 itu mendirikan rumah tangga bersama Haris, 26, di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada 27 Mac lalu.
Neelofa ditemui semasa Program Kasih Prihatin Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang berlangsung di Surau Al-Mustaqim, PPR Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Rabu.
Pada majlis tersebut, Neelofa yang mewakili Pertubuhan Kasih Neelofa bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Yayasan Kasih Prihatin Nasional (PRIHATIN) menyerahkan sumbangan kepada keluarga asnaf yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Dia turut ditemani suaminya, Haris yang juga penasihat agama Pertubuhan Kasih Neelofa.
Terdahulu sejak beberapa bulan lalu, khabar angin mengenai kehamilannya hangat diperkatakan selepas dia dilihat kerap mengusap bahagian perutnya, khasnya ketika melakukan ‘IG Live’ di Instgaram.
Malah penampilannya ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Seremban bagi sebutan semula kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), 24 September lalu turut mencuri perhatian ramai.