Berusaha untuk mengubah landskap hiburan, selebriti popular, Afdlin Shauki dan Datuk AC Mizal bekerjasama menubuhkan stesen televisyen, Syiok TV menerusi Syiok Media Network.
Kata Afdlin, rancangan untuk menubuhkan Syiok TV bermula sejak beberapa tahun lalu.
“Ia kemudiannya menjadi serius sejak dua tahun lalu.
“Saya dan AC merasa terpanggil selepas merasakan ada ketidakadilan yang berlaku di antara stesen TV dan penerbit.
“Lagi pula, penerbit merupakan penggerak industri kerana bertindak dalam menyumbang pelbagai idea dan program,” katanya pada Media Hiburan.
Jelasnya, penubuhan stesen televisyen itu bertujuan untuk membantu golongan artis dalam industri seni hiburan tempatan.
“Niat kita hanyalah untuk membantu terutamanya apabila ia membabitkan soal harta intelek (IP).
“Kita tahu, semua orang punya idea bernas. Tapi, bila disampaikan ke stesen TV, hak IP itu bukan lagi pemilik idea asal.
“Kenapa idea itu tak boleh jadi IP kita yang mana kita boleh bagi pada anak cucu kita? Lagipun, bukan satu kerja senang untuk kita fikirkan sesuatu idea itu,” katanya.
Afdlin bagaimanapun menafikan kecewa dengan sikap industri TV sebaliknya berhasrat memberi lebih pilihan kepada penerbit.
“Ini bukan soal kecewa, tetapi langkah ini adalah lebih kepada tak mahu ambil hak yang bukan kita punya.
“Saya dah lama dalam industri, dah tahu cara kerja industri.
“Jadi kalau orang tak mahu berubah, saya yang ubah. Saya harap usaha ini akan diikuti oleh RTM,” katanya.
Buat permulaan, katanya, Syiok TV bakal memulakan satu saluran pertamanya, pada hujung tahun ini.
“Asalnya, kita berhasrat untuk menyediakan tiga saluran namun sebagai permulaan, kita mahukan satu saluran dipertontonkan dulu.
“Kandungannya masih dalam peringkat perbincangan dan ia akan dimaklumkan kemudian.
“Saluran ini juga boleh ditonton secara berbayar atau percuma,” katanya.
Pada masa sama, katanya, Syiok TV turut membuka peluang untuk memberikan dana kepada mana-mana karya yang dirasakan terbaik.
Dalam perkembangan lain, Bintang filem Buli ini turut melancarkan Yayasan Afdlin Shauki (YAS) yang bertujuan untuk membantu golongan kurang bernasib baik sama ada di dalam dan luar negara.
“Penubuhan YAS bertitik tolak atas rasa kesedaran selepas menyertai aktiviti kesukarelawanan di Gaza, Pelestin pada 2012.
“Ia membuatkan saya belajar erti bersyukur selepas melihat penderitaan orang lain.
“Selepas ini, sasaran kita adalah untuk membantu pelarian Syria untuk menghadapi musim sejuk, menjelang Disember ini.
“Untuk tujuan itu, kita sasarkan dapat mengumpulkan dana sehingga RM1 juta,” katanya.