“Bagi saya malang tidak berbau dan bukan salah mana-mana pihak. Akan tetapi nasihat saya kita perlu buat persiapan. Sediakan payung sebelum hujan.”
Demikian kata penerbit, Jaja Ishak susulan insiden kecelakaan yang boleh berlaku terhadap mana-mana warga kerja produksi ketika melakukan sesebuah penggambaran.
Malah bagi mengekang produksi menanggung risiko kerugian lebih besar di kemudian hari, pihaknya mewajibkan pihak terlibat untuk mengambil insuran sebelum terbabit di dalam mana-mana naskhah terbitannya.
“Bagi saya bila sudah apa pengalaman sedemikian, saya telah pun beli siap siap insuran kepada semua krew dan artis yang telibat. Misalnya untuk projek dokumentari 13 episod kami yang bakal menjalankan penggambaran tidak lama lagi.
“Sebabnya sekiranya berlaku sebarang kecelakaan yang tidak kita jangka, sekurang kurangnya ada perlindungan,” katanya kepada MH.
Dalam pada itu Jaja turut memilih untuk ‘mengharamkan’ mana-mana pelakon yang boleh memberi masalah kepada produksinya selepas ini.
“Kalau ia boleh memberikan masalah atau kesulitan kepada produksi, sudah tentulah saya pun tahu mahu kerjasama lagi dengan pelakon sedemikian.
“Namun kalau ia masalah yang bersifat peribadi dan tidak mengganggu perjalanan penggambaran contohnya, saya okay. Sebab pada saya, semua orang ada masalah peribadi. Cuma jangan campur adukkan ia ketika bekerja.
“Setakat ini saya tidaklah berdepan secara serius dengan masalah tersebut. Lebih seronok sebenarnya kalau kita kerja dalam keadaan senang dan tenang seterusnya membuatkan semua orang happy.
“Alhamdulillah setakat ini dalam 95 peratus pelakon yang pernah berkerja dengan saya tiada masalah, malah kita akan panggil lagi kalau ada projek yang bersesuaian,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Jaja sinonim mengambil bakat tempatan negeri kelahirannya, Pahang untuk diketengahkan menerusi naskhah yang diterbitkan produksinya, Jaja Ishak Channel Sdn. Bhd.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini