Senapang Patah Jatuh, Tertembak Mati Kanak-Kanak Di Depan TV

Share

Semalam kira-kira jam 11 pagi, satu kejadian menyayat hati berlaku apabila kanak-kanak yang bernama, Puteri Intan Shahrini Mohd Hishamuddin telah meninggal dunia selepas terkena tembakan senapang patah yang terjatuh di lantai.

Ketika kejadian itu berlaku, Puteri sedang baring berseorangan di ruang tamu sambil menonton TV dan tiba-tiba senapang patah milik moyangnya berusia 80 tahun yang disandarkan pada dinding terjatuh ke lantai lalu menyebabkan ia meletup dan pelurunya pula tertuju kepada pipi kiri Puteri.

Bapa kepada Puteri, Mohd Hishamuddin Azmi pula berkata, anaknya itu tinggal di rumah tersebut bersama datuk nenek, dua bapa dan ibu saudaranya selepas dia dan isteri berpisah kira-kira tiga tahun yang lalu.

“Ketika kejadian, saya sedang bekerja di Jitra sebelum dihubungi bekas isteri yang memaklumkan Puteri Intan Sharini meninggal dunia.

 

“Saya bergegas ke rumah berkenaan dan sebaik tiba, saya tergamam melihat keadaan anak. Saya cukup sebak kerana Puteri Intan Sharini pergi dalam keadaan menyayat hati,” katanya.

Kata Hishamuddin lagi, Puteri merupakan anak sulung daripada empat orang adik beradik dan dia menyifatkan anaknya ini sebagai seorang yang bijak dan telah memperoleh Anugerah Cemerlang selama dua tahun berturut-turut di sekolahnya.

Menurutnya lagi, senapang patah milik moyang Puteri ini digunakan untuk berburu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin mengesahkan kejadian namun enggan untuk mengulas lanjut tentang kes ini kerana siasatan masih berjalan.

Sayu hati MH selepas membaca berita ini, benar setiap yang hidup pasti akan merasai mati tapi pemergian Puteri dengan cara sebegini betul-betul menyedarkan diri bahawa ajal dan maut itu boleh berlaku dalam apa jua keadaan sekalipun.

Sesungguhnya ajal itu tidak pernah kenal pada usia. MH ucapkan takziah buat seluruh keluarga arwah Puteri dan semoga arwah tenang di sana serta ditempatkan di kalangan hambar-hambar yang soleh dan solehah.

Sumber: Harian Metro

Published by
Izzati Ramli