Pengacara dan usahawan, Roslan Shah mengakui dia ada memasang niat untuk mengadakan majlis doa selamat dan kesyukuran sekiranya usaha murninya untuk berbaik dengan rakan artis, Ifa Raziah dipermudahkan.
Roslan Shah yang mesra disapa Cik Lan berkata, dia ada memberitahu mengenai perkara itu kepada Ifa ketika sama-sama terlibat di dalam sebuah acara di Singapura, baru-baru ini.
Pasang Niat Murni
“Saya sudah berbincang dengan Ifa, untuk tahun baru ini, saya rancang untuk buat kenduri (tahlil dan doa selamat) untuk ahli keluarga kami yang telah pergi.
“InsyaAllah kalau boleh, saya nak buat majlis tersebut di Singapura dan Kuala Lumpur serta turut disertai anak-anak yatim. Sambil mendoakan buat yang telah tiada, kita bersedekah dan bagi saya itu lagi afdal.
“Sudah niat, azam saya. Sudah rancang dalam hati. Daripada ‘tabur duit’ pada benda lain, rasanya lebih baik untuk buat kenduri kesyukuran bersama anak-anak yatim.
“Mudah-mudahan kebaikan itu akan jadi saham akhirat, bila kami sudah tiada nanti, insya-Allah,” katanya ketika ditemui pada majlis Kemaafan Dendam Yang Terindah di Kuala Lumpur, pada Isnin.
Sementara itu Ifa juga memberitahu, Roslan ada mempelawanya untuk sama-sama menunaikan umrah sekiranya diizinkan Yang Maha Esa.
“Malah ketika saya berada di Singapura tempoh hari, Cik Lan ada cakap pada saya, tahun depan kalau ada rezeki kita buat umrah sama-sama,” katanya.
Terdahulu, dua selebriti ini sepakat memilih jalan damai berhubung isu persengketaan mereka yang sudah berlarutan hampir tujuh tahun.
Meskipun sudah berbaik pada sebuah festival di Singapura sebelum ini, menurut Ifa, dia dan Roslan memilih untuk membuat sidang media di Malaysia bagi menjelaskan situasi salah faham yang berlaku di antara mereka sebelum ini.
Buang Yang Keruh Ambil Yang Jernih
Dalam pada itu, Ifa akui berlapang dada apabila hubungannya bersama Roslan kembali baik.
“Allah SWT tahu kami pendosa, banyak buat salah. Semua orang tak sempurna. Jadi Allah bagi peluang pada kami umur yang panjang ini untuk saling berbuat baik di antara satu sama lain hari ini.
“Semoga pengakhiran hidup kami ke jalan yang diredai. Bila niat kita baik, insya-Allah Dia akan permudahkan. Rezeki pun akan datang dan saya percaya kasih sayang persahabatan itu masih lagi ada.
“Walau kita tak jumpa, benci, meluat dan sebagainya, tapi tipulah kalau tak ada rasa kasih dan sayang walau sebesar zarah terhadap Roslan.
“Dalam keburukan dia dan saya, ada baiknya juga. Memang masing-masing marah tapi bila kita duduk dalam tenang selepas solat, teringat akan kebaikannya.
“Kita pandang pada kebaikan, kenapa dengan kesalahan yang kecil, kita nak perbesarkan? Kenapa kita tidak nilaikan apa benda baik yang pernah dilakukan terhadap kita?
“Itulah kadang-kadang dalam sebuah perhubungan ini, kita kena pandang juga apa kebaikan orang lain terhadap diri kita,” katanya lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
@mediahiburanofficial Selepas sengketa 7 tahun…Sampai menangis Ifa Raziah, saling suap kek & bermaafan dengan Roslan Shah #MHnews #MediaHiburan #FYP ♬ original sound – Media Hiburan
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI